Tugas pengamal media bukan mudah

Pengamal media terpaksa ‘pejam mata’ dan ‘pekakkan telinga’ demi mendapatkan berita terbaik untuk pembaca. Foto hiasan
Pengamal media terpaksa ‘pejam mata’ dan ‘pekakkan telinga’ demi mendapatkan berita terbaik untuk pembaca. Foto hiasan
A
A
A

KETIKA menghasilkan nukilan ini, mata penulis tertumpu pada beberapa penulisan artikel semasa melibatkan isu nasional, kes culik dan orang hilang, lebih-lebih lagi kejadian pembunuhan kejam yang berlaku saban hari.

Mengintai di ruangan komen platform digital, kebanyakan netizen gemar melampiaskan amarah kepada pengamal media kononnya tiada empati apabila berhadapan dengan ahli keluarga yang terkait kes jenayah.

Lihat sahaja ketika media cuba mendapatkan ahli keluarga tiga korban kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Johor baru-baru ini, ada netizen menghentam wartawan kononnya tidak sensitif terhadap perasaan bapa si mangsa.

Inilah antara cabaran besar buat pengamal media khususnya wartawan meja nasional, jenayah dan hiburan.

Mereka terpaksa ‘pejam mata’ dan ‘pekakkan telinga’ demi mendapatkan berita terbaik untuk pembaca.

Bagaimanapun, kebanyakan warga maya tidak melihat daripada perspektif positif iaitu wartawan hanya melakukan tugas hakiki semata-mata mahu menyampaikan maklumat terbaharu dan penting kepada masyarakat.

Cacian dan maki hamun boleh dikatakan ‘makanan harian’ wartawan, namun tidak bermakna aspek empati dan simpati bukan satu keutamaan dalam diri pemberita.

Pengamal media sudah diingatkan sejak hari pertama bekerja supaya kekal profesional, adil, berintegriti, bertanggungjawab dan telus dalam melakukan tugas berpandukan lapan garis panduan Kod Etika Kewartawanan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam erti kata lain, tugas wartawan bukanlah mudah, malah tanggungjawab dipikul amat berat.

Golongan berkenaan juga terikat dengan undang-undang dan akta merangkumi bidang tugas, misalnya Akta Hasutan 1948 yang tidak boleh bertindak mencetuskan sebarang pertuduhan menghasut, apatah lagi menggambarkan situasi sedemikian.

“Di padang Mahsyar nanti, wartawan berdiri paling depan sekali!

“Tak ada kerja ke sampai nak masuk campur urusan orang?

“Wartawan ini tak ada otak ke nak temu bual waktu macam ini?”

Demikian antara komen sering dilontarkan pengguna media sosial yang turut mengikuti perkembangan terbaharu media tempatan dari pagi sampai malam.

Tanpa mereka mengetahui betapa sukarnya mendapatkan maklumat untuk dihidangkan kepada orang ramai sambil mengetepikan perasaan sendiri.

Kalau diikutkan hati, wartawan mahu sahaja biarkan situasi bertukar reda dahulu sebelum sedia menemu bual, namun bukan begitu konsepnya dalam mencari berita.

Bukan hanya cabaran daripada kalangan warga maya, malah media juga berdepan dengan sikap ‘acuh tak acuh’ beberapa agensi kerajaan atau swasta dalam memberi maklum balas.

Contohnya, sebelum ini penulis ada menulis beberapa artikel penting yang memerlukan jawapan susulan daripada agensi terlibat, namun sehingga kini tiada maklumat lanjut seolah-olah sengaja membisukan diri.

Penulis faham mungkin ada yang sibuk atau waktu belum sesuai, tetapi setidak-tidaknya berilah maklum balas ringkas seperti ‘kami akan memberi kenyataan dalam masa terdekat’ atau sekurang-kurangnya dua perkataan iaitu ‘no comment’. Itu sudah memadai.

Justeru, usahlah memperkecilkan usaha media dalam menerbitkan atau menyiarkan isu semasa kerana ia boleh menjadi perdebatan hangat dalam kalangan rakyat sehingga ada tindakan lanjut daripada pihak berkaitan seterusnya berupaya menuntaskan sesuatu kes.

Jika media tidak memainkan peranan sebagai ejen perubahan atau sosialisasi dalam membentuk pemikiran masyarakat, siapa lagi?

Apa pun, terpulang kepada pembaca sama ada mahu menerima, mengecam, mengambil pengajaran atau teruskan sikap kurang cakna dengan hidangan berita dikeluarkan di portal media tempatan kerana pilihan di tangan masing-masing.

Namun, jika tidak boleh menghormati tugas individu bergelar wartawan, sekurang-kurangnya usah melabelkan golongan sebegini sebagai ‘bakal penghuni neraka’ kerana semua manusia melakukan dosa dan tiada yang sempurna.

Meninggalkan komen berbaur hinaan dan fitnah di media sosial sesuka hati juga satu dosa tau!

* Aisyah Basaruddin ialah Wartawan Meja Am Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!