Lambakan PATI punca jenayah
KUALA LUMPUR - Orang ramai menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana bimbang dengan peningkatan kes jenayah sejak akhir-akhir ini.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Aziz berkata, perkara itu jelas dapat dilihat menerusi perniagaan kedai runcit yang kebanyakannya dimonopoli warga asing.
“Kita sebagai orang tempatan pastinya mahu beri sokongan kepada perniagaan orang kita sendiri, masalahnya semua didominasi oleh warga asing.
“Sudah pasti tidak selesa, bila kita pergi kedai beli barang, dengan kedai ramai dengan warga asing, seolah-olah kita pula berada di negara mereka, tapi nak buat macam mana, itu situasi yang perlu dilalui setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, kawasan tersebut akan berubah umpama di negara mereka terutamanya di hujung minggu.
“Sabtu dan Ahad terutamanya boleh lihat mereka akan berkumpul beramai-ramai dan buat pelbagai aktiviti bersama seperti bermain dam dan sebagainya.
“Apa yang dirisaukan kalau jumlahnya terlalu ramai, kemungkinan berlaku jenayah itu ada dan memang terbukti kejadian seumpama itu memang sudah berlaku,” luahnya.
Turut sependapat, Azman berkata, keberadaan warga asing di kawasan kediamannya sering kali menimbulkan kacau ganggu.
“Adakala mereka akan minum dan mabuk, tapi mereka tak minum di luar rumah, cumanya tin-tin minuman keras diletakkan di luar rumah.
“Saya pernah tegur perbuatan mereka itu, berubahlah sekejap tapi selepas itu akan jadi balik. Fikir-fikir macam nak pindah, tapi nak buat macam mana sewa di sini agak murah berbanding kawasan lain,” jelasnya.
PATI SEMAKIN BERANI
Sinar Harian yang pernah mengikuti beberapa siri serbuan yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia selain Jabatan Imigresen Malaysia mendapati kawasan-kawasan yang didiami PATI ini mencetuskan rasa bimbang penduduk tempatan.
Malah serbuan pihak berkuasa sebelum ini di beberapa negeri membongkar penempatan haram PATI yang dilengkapi beberapa kemudahan seperti kedai runcit, sekolah, surau dan lain-lain di kawasan hutan.
Bukan itu sahaja, Operasi Pemandu Warga Asing (Op Pewa) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan juga mengesan ada PATI yang didapati memandu di atas jalan raya.
Berdasarkan laporan Sinar Harian pada Februari lalu, PATI juga didapati menyusup masuk melalui negara jiran di jeti-jeti haram dengan hanya menaiki bot tidak sampai lima minit.
Malah ada juga warga asing yang sudah disenarai hitam dikesan berjaya menyusup masuk di pintu masuk sah negara.
Sehubungan itu, pada 29 Februari, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut memberikan maklum balas mengenai laporan itu turut mendedahkan lima negeri merekodkan keberadaan PATI tertinggi iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak.
UNSUR RASUAH
Presiden Persatuan Gemilang Muafakat Perpaduan, S Hassan Khutoos berkata, lambakan PATI berlaku disebabkan tiada kawalan kemasukan golongan itu.
“Mereka ini kita lihat masuk dalam jumlah yang ramai, malangnya kita tidak kawal pengambilan warga asing, pihak berwajib yang bertanggungjawab dalam soal ini perlu memastikan ia tidak berlaku.
“Apabila melampaui jumlah sepatutnya, pasti akan memberi kesan kepada warga tempatan,” ujar beliau.
Tambahnya, pihak berkuasa perlu melakukan pemantauan selepas operasi yang dijalankan di sesebuah kawasan.
“Kemungkinan berlakunya rasuah antara sebab lambakan warga asing ini masih berlaku.
“Akhbar turut melaporkan bahawa ada pihak berkuasa yang ditahan akibat rasuah dan sememangnya perkara ini berlaku. Ini menjadi punca masalah ini tidak dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Saya minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ambil maklum berkaitan rasuah ini, sekiranya ada dikesan terus ambil tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, menurut seorang PATI warga Bangladesh dikenali Abdur Rahman mendakwa, dia tidak bekerja selepas kontraknya di tapak pembinaan tamat.
“Majikan tidak beritahu apa- apa. Kami semua sama. Kontrak habis, tiada kerja,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan ada yang terpaksa melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang demi untuk meneruskan kehidupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!