Kenangan manis jahit kebaya tradisional Negeri Sembilan untuk Wan Azizah
SEREMBAN - Satu dekad menjadi tukang jahit, tidak pernah terlintas di hati Normah Ishak, 60, bahawa suatu hari nanti dia berpeluang menjahit busana tradisional masyarakat Negeri Sembilan buat isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menyifatkannya sebagai pengalaman paling berharga dan manis dalam hidup, ibu kepada empat anak serta enam cucu ini mengambil masa seminggu untuk menyiapkan ‘Kebaya Setengah Tiang’ berwarna pic untuk dihadiahkan sebagai cenderamata kepada Dr Wan Azizah pada satu acara rasmi di Seremban, Julai lepas.
Bersesuaian dengan status beliau selaku isteri pemimpin nombor satu negara, busana yang disampaikan itu bukanlah kebaya biasa, sebaliknya mempunyai keistimewaan yang menjunjung identiti warisan negeri beradat ini.
Berusia lebih 100 tahun, Kebaya Setengah Tiang diketahui digayakan masyarakat dan kerabat diraja negeri ini sejak 1930-an.
"Saya sangat teruja apabila diberi peluang menjahit kebaya warisan ini untuk isteri Perdana Menteri. Kami lihat isteri Perdana Menteri memang gemar memakai baju kurung atau kebaya dalam acara rasmi.
"Alhamdulillah, beliau suka dengan baju yang terhasil. Malah, difahamkan juga beliau amat teruja untuk menggayakan kebaya yang dihadiahkan itu setelah mengetahui pakaian tersebut merupakan kebaya beridentitikan negeri ini," katanya kepada Bernama.
Dia juga menerima tempahan daripada orang kenamaan dan pegawai kanan kerajaan, antaranya Ahli Dewan Undangann Negeri Pilah, Noorzunita Begum Ibrahim serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan, Nicole Tan.
Normah berkata, reka bentuk baju Kebaya Setengah Tiang yang menampilkan keindahan pola potongan tujuh, tidak mempunyai pesak dan bersifat longgar, membezakan busana ini dengan baju kebaya yang biasa dipakai oleh kaum wanita di Malaysia.
Maka tidak hairanlah Kebaya Setengah Tiang semakin diminati, khususnya masyarakat di Negeri Sembilan untuk dipakai ke majlis keraian seperti kenduri kahwin, katanya.
"Sebelum ini saya hanya menjahit secara suka-suka, tetapi sejak kerajaan negeri patenkan baju ini sebagai warisan identiti Negeri Sembilan, secara tiba-tiba saya menerima banyak tempahan,” katanya, menambah, tempahan datang daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
Bekas pesara kerajaan itu berkata, dia mengambil masa setahun mempelajari teknik jahitan kebaya warisan itu melalui kursus yang dikendalikan Persatuan Penggiat Busana Tradisional Negeri Sembilan.
Sementara itu, seorang lagi tukang jahit yang berkemahiran menghasilkan Kebaya Setengah Tiang, Azita Azit, 46, berkata, dia berusaha mempelajari teknik jahitan kebaya tersebut kerana ingin memastikan busana tradisional berkenaan tidak lapuk ditelan zaman.
Berpengalaman 11 tahun dalam bidang jahitan, dia berkata, bukan mudah untuk menguasai teknik jahitan Kebaya Separuh Tiang, khususnya bagi menghasilkan pola yang tepat.
"Jika tidak belajar, memang susah untuk menjahit kebaya ini,” katanya, menambah dia mengenakan harga antara RM80 hingga RM180 bagi tempahan sehelai Kebaya Separuh Tiang.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penggiat Busana Tradisional Negeri Sembilan, Alias Zakaria, 64, berkata, pakaian warisan tersebut dipanggil Kebaya Setengah Tiang kerana bentuk potongan bajunya yang unik, iaitu di atas paras lutut dan bahagian belakangnya pula labuh di bawah bahagian punggung.
Memperincikan ciri-ciri busana itu, beliau berkata, kebaya tersebut mempunyai potongan bahagian bawah yang lurus, berlengan kembang di hujung dengan bahagian depan baju pula terbuka dan berlidah, berbeza dengan kebaya lain yang runcing di bahagian depan.
Kainnya pula hanya menggunakan kain batik sarung dengan ikatan tindih kasih yang diikat dari arah kanan ke kiri.
Bagi memelihara keaslian dan keunikan busana tersebut, kerajaan negeri telah mendaftarkan Kebaya Separuh Tiang sebagai harta intelek dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada November tahun lepas bagi memastikan pola dan potongan asal busana baju tradisional ini kekal menjadi identiti Negeri Sembilan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!