‘Ayah seorang yang bertanggungjawab, utamakan keluarga’
SUBANG JAYA - Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman, 59, disifatkan sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab.
Anak sulungnya, Roz Ariffin Rozaid, 33, berkata, walaupun sibuk dengan kerjayanya, Allahyarham tidak pernah melupakan amanah sebagai seorang bapa.
“(Allahyarham) Seorang yang bertanggungjawab dan sentiasa utamakan keluarga.
“Tanggungjawab dia sebagai ayah memang tak boleh dipertikaikan. Banyak dia berkorban untuk keluarga,” katanya ketika ditemui wartawan di kediamannya di Putra Heights, di sini pada Ahad.
Tambah Roz Ariffin, Allahyarham menerima rawatan di Hospital Serdang sejak 1 Julai lalu selama satu bulan.
Ujarnya lagi, bapanya merupakan individu yang kuat bekerja dan jarang dilihat sakit.
“Dia jarang sakit. Sekitar tahun 2021, dia pernah jalani pembedahan sebab slip disc dan ini kali kedua,” katanya.
Antara Menteri yang hadir menziarahi Allahyarham di kediamannya adalah Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Rozaid Rahman yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian itu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norliza Ghani dan tujuh anaknya.
Difahamkan, jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Putra Heights, di sini pada Isnin sekitar jam 8.30 pagi.
Alahyarham dijangka dikebumikan pada 10 pagi Isnin, di Presint 20, Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!