Istana Pahang buat laporan polis terhadap Muhyiddin

Laporan polis dibuat Istana Pahang.
Laporan polis dibuat Istana Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Istana Pahang membuat satu laporan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.

Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah berkata, laporan tersebut dibuat selepas menonton satu rakaman video menerusi aplikasi YouTube yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun ketika berada di Istana Abdulaziz, pada Jumaat.

Menurutnya, kenyataan Muhyiddin sangat bahaya kerana ia secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan kepada institusi Raja-raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat.

"Ia juga bersifat fitnah dan menghasut selain menyentuh isu 3R. Malah, kenyataan tersebut jelas menjejaskan nama baik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Disebabkan itu saya tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan adil, tegas dan tanpa kompromi dikenakan ke atas Muhyiddin," katanya.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini pada malam Ahad.

Sebelum ini, Amir Syaffiq menjelaskan, rakaman Muhyiddin dilaporkan menyebut Yang di-Pertuan Agong ke-16 iaitu Al-Sultan Abdullah tidak menjemput beliau ke istana negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan mendakwa mendapat sokongan 115 ahli Parlimen.

"Dalam petikan ceramah tersebut, beliau (Muhyiddin) seolah-olah menyatakan Al-Sultan Abdullah gagal untuk menghormati perlembagaan persekutuan kerana tidak melantik beliau sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kenyataan ini adalah bersifat sinis, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah (sebagai Agong pada ketika itu) seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri sedangkan pelantikan dibuat dengan teliti serta mengikut perlembagaan," katanya.

Sebelum ini, Pemuda dan Puteri UMNO Pekan membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri itu kerana menyentuh isu ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri.

Ketuanya, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, Muhyiddin dalam satu ceramah telah mengeluarkan kenyataan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah.

Laporan polis dibuat oleh Pengerusi Biro Putera Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamed Haekal Mohamed Nasrudin dan Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Nur Hidayah Abd Rahim.

Pada Ahad, UMNO Pekan sekali lagi tampil membuat laporan terhadap Muhyiddin bagi membolehkan tindakan mengikut undang-undang dikenakan terhadap beliau.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam hantaran di laman Facebook pula menzahirkan rasa kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!