[VIDEO] Bekas guru didakwa bunuh Cikgu Istiqomah

A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang bekas guru dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan membunuh Cikgu Istiqomah tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teo Shu Yee dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit telah membunuh Istiqomah Ahmad Rozi, 34, antara 26 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023 di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd Fadzly diiring polis ketika hadir ke mahkamah.
Mohd Fadzly diiring polis ketika hadir ke mahkamah.

Sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum gantung, boleh dihukum penjara maksimum 40 tahun serta sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nazrin Ali Rahim membantah sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 22 Oktober depan dan tertuduh dibenarkan menghubungi keluarga bagi lantikan peguam.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan misteri penemuan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang disumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, 31 Disember lalu terjawab apabila ia disahkan milik guru wanita iaitu Allahyarham Istiqomah.

Ia disahkan berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap ibunya pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.

Ringkasan berita:

  • Kes: Bekas guru, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, didakwa membunuh Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi.
  • Pertuduhan: Pembunuhan didakwa berlaku antara 26 hingga 31 Disember 2023 di Alor Gajah, Melaka.
  • Seksyen: Dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan; hukuman mati jika sabit kesalahan.
  • Jaminan: Timbalan Pendakwa Raya membantah sebarang jaminan.
  • Penemuan: Mayat tanpa kepala, kaki, dan tangan ditemui dalam tong sampah pada 31 Disember 2023; identiti disahkan melalui ujian DNA.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!