Tidak tahu jalan alasan lelaki pandu lawan arus

Kereta Perodua Myvi yang dipandu secara melawan arus dalam kejadian pada petang Sabtu di Jalan Masjid Negeri.
Kereta Perodua Myvi yang dipandu secara melawan arus dalam kejadian pada petang Sabtu di Jalan Masjid Negeri.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pemandu kereta memberi alasan tidak tahu jalan menyebabkan dia memandu secara melawan arus dalam kejadian di Jalan Masjid Negeri pada petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu memberi alasan tidak tahu jalan kerana bukan berasal dari negeri ini.

"Kita telah mengambil keterangan daripada pemandu yang merupakan warga tempatan itu. Dia memberi alasan tidak tahu jalan kerana bukan berasal dari Pulau Pinang.

"Selain itu, dia dalam keadaan tergesa-gesa untuk ke hospital kerana ada urusan kecemasan melibatkan keluarganya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Rakaman 'dashcam' yang tular di media sosial memaparkan sebuah kereta dipandu melawan arus di Jalan Masjid Negeri.
Rakaman 'dashcam' yang tular di media sosial memaparkan sebuah kereta dipandu melawan arus di Jalan Masjid Negeri.

Ujar beliau, susulan daripada itu, pemandu tersebut telah dikenakan saman dan diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Pemandu tersebut dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk diambil keterangan lanjut. Dia turut dikenakan saman dan kemudiannya dibebaskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, satu rakaman video papan pemuka (dashcam) berdurasi 39 saat tular di aplikasi X memaparkan kejadian sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru dipandu secara melawan arus.

Semakan polis mendapati, kejadian berlaku pada jam 4.48 petang, Sabtu lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!