Cabaran kosong enam kerusi Parlimen, cubaan jahat pesong fakta

Haziq Azfar Ishak
Haziq Azfar Ishak
A
A
A

SHAH ALAM - Cabaran supaya enam kerusi Parlimen yang menyokong Perdana Menteri dikosongkan pasca keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri merupakan cubaan jahat memesongkan fakta.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, ia kononnya Speaker Dewan Rakyat berupaya mengosongkan kerusi tersebut tetapi memilih untuk tidak melakukannya.

Menurut beliau, hakikatnya speaker Dewan Rakyat tidak boleh mengosongkan kerusi bagi keenam-enam ahli Parlimen tersebut adalah disebabkan kekangan perundangan yang dicipta oleh Bersatu dan Perikatan Nasional sewaktu undang-undang antilompat parti dibentangkan di Parlimen pada tahun 2022.

"Lebih spesifik, kesan tidak setuju Bersatu mengetatkan peruntukan antilompat parti sedia ada, speaker hanya boleh mengosongkan kerusi bawah Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan jika ahli Parlimen meninggalkan parti secara sukarela dan bukannya melanggar arahan parti.

"Setelah mereka sendiri membuat onar dan merosakkan keberkesanan undang-undang antilompat parti sedia ada, kini mereka terus menjaja cerita dongeng dan merosakkan minda orang awam kononnya enam kerusi ahli Parlimen tidak dikosongkan kerana motif politik," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sekali lagi mengeluarkan cabaran supaya enam kerusi Parlimen yang menyokong Perdana Menteri dikosongkan pasca keputusan PRK DUN Nenggiri dengan alasan apa yang mahu ditakutkan selepas kemenangan di kawasan tersebut.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Haziq Azfar turut mencabar Wan Ahmad Fayhsal dan Ahmad Fadhli untuk mengemukakan bukti speaker benar-benar terkhilaf berhubung perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Jika benar keputusan speaker salah, mereka dicabar untuk membuktikan asbab secara teknikal bahawa speaker benar-benar terkhilaf dalam keputusannya itu,'' jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!