Pastikan rumah tepati kualiti: Exco
BAHAU - Kerajaan Negeri Sembilan mengingatkan pemaju di negeri ini memastikan projek pembinaan rumah menepati kualiti bangunan yang ditetapkan.
Exco Kesejahteraan Bandar Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong berkata, mereka mesti memastikan projek bebas daripada sebarang kerosakan kerana pembinaan rumah melibatkan keselesaan mengikut harga yang ditawarkan.
“Kebanyakan masalah timbul selepas tamat tempoh jaminan rumah daripada pemaju kepada pembeli contohnya macam kerosakan lantai yang berlaku di Bahau.
“Dalam kes ini seperti ini kerajaan melalui Unit Perumahan Negeri Sembilan telah memanggil pemaju terlibat bagi memperjelaskan situasi selain mencari jalan penyelesaiannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai menyerahkan sumbangan beg dan alat tulis kepada 39 murid di Sekolah Jenis Kebangsaan CIna (SJKC) Chi Sin, Batu Kikir, semalam.
Kok Seong yang juga Adun Bahau berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) jika kes seumpama itu memerlukan siasatan.
“Kementerian sememangnya mempunyai satu unit khas (Special Task Force) untuk kendalikan aduan sebegini.
“Bagaimanapun, keperluan Special Task Force ini bergantung kepada sesuatu kes antaranya melibatkan 10 hingga 20 unit perumahan,” katanya.
Sementara itu, Kok Seong berkata, sumbangan beg dan alat tulis diharap dapat meringankan bebanan yang ditanggung ibu bapa, penjaga walaupun pemberian tersebut lewat diserahkan.
“Sekiranya ada ibu bapa, penjaga yang kurang berkemampuan masih belum melengkapkan anak anak dengan kelengkapan sekolah, boleh datang terus ke pejabat Dun Bahau untuk mengambilnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!