Pastikan keperluan asas Orang Asli diselenggara baik - Sultan Selangor
KUALA LANGAT - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan negeri dan Pusat tidak terlepas pandang aspek kemudahan kepada masyarakat Orang Asli.
Titah baginda, kerajaan perlu memastikan keperluan asas masyarakat Orang Asli seperti jalan raya, air, elektrik, klinik kesihatan dan sekolah dapat terus disediakan dan diselenggara dengan baik.
"Kerajaan negeri khususnya perlulah peka terhadap keperluan dan bersedia membantu untuk pembangunan dan kemajuan masyarakat Orang Asli di Selangor.
"Beta tidak mahu masyarakat Orang Asli ini dibiarkan ketinggalan dari arus pembangunan, " titah baginda pada Majlis Perlancaran Buku Orang Asli Mah Meri bertajuk Moyang-Spirit of Carey Island di Amverton Cove, Golf & Island Resort Pulau Carey di sini pada Isnin.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada majlis sama, baginda turut mengingatkan kerajaan memantau aspek kesihatan dan kebersihan perkampungan Orang Asli.
"Beta tidak mahu ada yang menganggap kewujudan Orang Asli tidak relevan lagi dalam usaha mengejar kemajuan negara.
"Beta mahu setiap perkampungan Orang Asli kekal bersih di samping alam semula jadi yang terpelihara serta bebas dari wabak penyakit, " titahnya.
Titah baginda lagi, majlis pelancaran itu sepatutnya dilancarkan di Perkampungan Budaya Mah Meri di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey namun tidak dapat diadakan kerana dilanda ribut.
Rentetan itu, baginda menyeru pihak kerajaan dan swasta agar dapat memberi bantuan yang sewajarnya bagi membina dan memperbaiki semula Perkampungan Budaya Mah Meri.
"Ia supaya perkampungan itu kembali menjadi tempat yang sesuai dikunjungi oleh masyarakat dan pelancong asing yang ingin mengenali dan merasai suasana perkampungan Orang Asli di Pulau Carey ini," katanya.
Keunikan seni ukiran Mah Meri dapat pengiktirafan UNESCO
Keunikan seni ukiran kayu Orang Asli Mah Meri Selangor mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Titah Sultan Sharafuddin, baginda berbangga kaum Mah Meri berjaya memaparkan keunikan mereka kepada masyarakat dunia sehingga mendapat 22 pengiktirafan UNESCO Seal of Excellence.
Baginda mencadangkan semua artifak penting Orang Asli terutama yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO dibeli oleh kerajaan negeri.
"Langkah itu supaya khazanah Orang Asli di Selangor tidak terlepas ke luar serta diletakkan di tempat yang sesuai," titah baginda.
Buku tersebut merupakan buku kelima nukilan Pakar Orang Asli, Rashid Esa yang dihasilkan berdasarkan pemerhatian selama 35 tahun.
Buku itu mengandungi elemen seni, tradisi dan amalan kepercayaan kaum Mah Meri yang telah dicatatkan secara terperinci untuk rujukan kepada generasi akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!