PRK DUN Mahkota: Amanah Kluang sedia bantu calon UMNO

Amanah Kluang akan membantu calon daripada UMNO pada PRK DUN Mahkota pada September depan.
Amanah Kluang akan membantu calon daripada UMNO pada PRK DUN Mahkota pada September depan.
A
A
A

BATU PAHAT - Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang akan membantu calon daripada UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada September depan.

Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, tindakan itu sejajar dengan ketetapan yang dibuat Amanah negeri dan nasional yang akur dengan keputusan calon bagi PRK DUN Mahkota daripada UMNO.

"Amanah kawasan Kluang sentiasa bersama Amanah negeri dan nasional. Kami telah dihubungi Amanah nasional yang menyatakan arahan serta keperluan yang perlu kami perlu laksanakan

"Hari ini, saya ingin menyatakan bahawa, Amanah kluang akur dan taat terhadap arahan yg dikeluarkan dan akan membantu memenangkan calon UMNO pada PRK DUN Mahkota," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Amanah negeri di Parit Yaani, di sini pada Ahad.

Mesyuarat itu juga memutuskan Mohd Zuhan dilantik pengarah pilihan raya bagi parti itu.

Hadir sama, Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan; Timbalan Pengerusi Amanah negeri, Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Mohd Zuhan memberitahu pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat cakna dengan menberi respon terhadap sidang media yang dilakukan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih dan syabas kepada pucuk pimpinan PH dan BN yang cakna terhadap tuntutan daripada akar umbi.

"Malah BN juga memberikan respon yang baik terutama Presiden UMNO Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan kepimpinan parti itu, serta pemuda-pemuda parti.

"Saya melihat respon tersebut dari sudut positif, sehingga Pengerusi Amanah negeri dijemput untuk hadir pertemuan dengan kepimpinan UMNO di pada 26 Ogos ini," katanya.

Mohd Zuhan dalam sidang media sebelum ini mendesak pucuk pimpinan PH dan BN supaya memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Menurut Mohd Zuhan, Amanah Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi dengan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Pada PRU14 pula, calon Amanah yang menggunakan logo PKR, Muhammad Said Jonit menang kerusi DUN Mahkota dengan meraih 19,507 undi dan meraih majoriti 1,668.

Muhammad Said menewaskan calon BN, Datuk Jais Sarday yang meraih 17,839 undi dan calon Pas, Hasbullah Najib yang mendapat 3,092 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!