Selepas JAS, MPS pula ambil tindakan lumpuhkan kilang e-waste di Segamat
SEGAMAT - Tindakan bersepadu pihak berkuasa terus melumpuhkan pengoperasian kilang memproses sampah elektronik (e-waste) di Kawasan Perindustrian Segamat 2 di sini.
Tindakan itu diambil Majlis Perbandaran Segamat (MPS) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Yang Dipertua MPS, Mohd Helmi Sha'ri berkata, Op Bersepadu bermula jam 10 pagi, Khamis lalu itu dilaksanakan hasil maklumat dan aduan.
Katanya, pemeriksaan telah dijalankan ke atas enam kilang.
"Hasil pemeriksaan, MPS telah mengambil tindakan kompaun dan mengarahkan penutupan operasi ke atas dua kilang e-waste haram.
"Satu kompaun kerana lesen tamat tempoh dan dua lagi kerana tiada lesen peleburan logam. Tindakan lain ke atas kilang yang membuat pembakaran haram lain juga akan dilaksana sementara menunggu laporan kimia daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Terima kasih kepada agensi yang memberi kerjasama sepanjang operasi ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di beberapa kilang e-waste haram ditahan.
Menurutnya, PATI terdiri daripada 34 lelaki warga Bangladesh, 20 lelaki warga Nepal dan seorang warga Kemboja berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.
"Kesalahan yang dikesan ialah tinggal lebih masa dan langgar syarat pas.
"Kesemua PATI dibawa ke Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," ujarnya.
Tegasnya, JIM Johor turut mengeluarkan enam notis hadir ke pejabat kepada individu-individu terlibat bagi membantu siasatan.
Susulan pendedahan Sinar Harian mengenai kilang-kilang e-waste di Segamat, Johor, pada 14 Ogos lalu, JAS telah mengambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bagi menghentikan pencemaran membabitkan lima kilang.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, tindakan pada 16 Julai dan 12 Ogos lalu diambil mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Buangan-buangan yang diproses oleh premis-premis tersebut ialah bateri litium (SW103) membabitkan sebuah kilang, aluminium dros (SW104) (2 kilang), buangan e-waste (SW110) (1 kilang) dan sebuah lagi kilang melibatkan buangan kabel yang tercemar dengan buangan terjadual (SW422).
Pada 6 Ogos lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan aktiviti kilang haram di Segamat, Johor yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sisa e-waste diseludup tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan hingga mencetuskan kegusaran penduduk yang terjejas dengan bau pada waktu malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!