BN perlu bantuan PH di DUN Mahkota - Ahmad Zahid
BAGAN DATUK - Barisan Nasional (BN) memerlukan sokongan dan bantuan daripada Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak seperti di DUN Nenggiri yang dimenangi sebelum ini, landskap politik berbeza di DUN Mahkota selain jumlah pengundi yang ramai.
Menurutnya, BN akan menyusun jentera yang sama seperti di DUN Nenggiri namun menggunakan pendekatan yang berbeza di DUN Mahkota.
"Keterlibatan mereka (PH) sangat penting kerana komposisi pengundi dan demografinya berbeza berbanding di DUN Nenggiri apatah lagi kita lihat jumlah pengundi di DUN Mahkota adalah tiga kali ganda daripada DUN Nenggiri.
"Jadi kita harus melibatkan semua pihak, rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan wajib dilibatkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Simpang Tiga di sini pada Isnin.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Idris Lasim.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, melalui kerjasama di antara dua parti itu, momentum kemenangan di DUN Nenggiri akan dibawa ke DUN Mahkota.
Menurutnya, parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan saling memerlukan antara satu sama lain walaupun bertanding menggunakan lambang berbeza.
"Kita akui hakikat bahawa kita perlukan rakan-rakan kongsi politik yang baik dan kita akan tentunya menjalin kerjasama walaupun kita menggunakan lambang kita.
"Jadi persefahaman itu mesti diwujudkan supaya jumlah undi yang kita peroleh itu adalah sebabkan oleh kolaborasi bantu-membantu untuk meraih kemenangan," katanya.
Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM46.2 juta untuk membangunkan Projek Perumahan Rakyat di sini.
Menurutnya, projek yang akan dibangunkan di atas tanah kerajaan berkeluasan 7.89 hektar ini merangkumi pembinaan 150 unit rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera PPRS secara berkembar berkeluasan 660 kaki persegi.
Projek di bawah Pemajuan Kawasan (PPK) RPT Simpang Tiga, Bagan Datuk ini antara projek yang akan dibangunkan di Perak selain di daerah Perak Tengah, daerah Muallim dan juga Daerah Kerian berdasarkan keperluan pembangunan yang telah dikemukakan oleh pentadbiran daerah masing-masing.
Projek yang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2026 ini dilaksanakan oleh Felcra Berhad melalui anak syarikat Felcra Bina Sdn Bhd ini bakal memberi manfaat kepada 750 penduduk sekitar Rungkup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!