Rozaid ketua berdedikasi, berjaya pimpin Sinar Harian
SUBANG JAYA - Allahyarham Rozaid Rahman adalah seorang ketua yang berdedikasi ketika berkhidmat selama dua tahun sebagai Ketua Pengarang Sinar Harian.
Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kepimpinan Allahyarham mengemudi barisan hadapan Sinar Harian terserlah ketika Covid-19 melanda negara.
Menurutnya, pada kemuncak Covid-19, Sinar Harian beroperasi 100 peratus di rumah dengan akhbar sahaja cetak di kilang manakala keseluruhan operasi dibuat secara dalam talian dan digital.
“Rozaid sahabat lama saya ketika dia bertugas di Utusan Malaysia dan The Star, tiga tahun lepas saya ajak dia menyertai Karangkraf selepas kematian arwah Datuk Baharom Mahusin (Bekas Ketua Pengarang Sinar Harian).
“Alhamdulillah sepanjang di Karangkraf beliau (Rozaid) berjaya memimpin Sinar Harian dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian di Masjid Putra Heights di sini pada Isnin.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Rozaid, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkaf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Hussamuddin mengakui sepanjang menjadi Ketua Pengarang Sinar Harian, Allahyarham ada beberapa kali jatuh sakit termasuk menjalani pembedahan menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti sakit yang panjang.
Hussamuddin dalam pada itu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap agar mereka dapat menempuh dugaan dengan sabar kerana ALLAH lebih menyayanginya.
Terdahulu, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman, 59, meninggal dunia di kediamannya di Putra Heights pada Ahad.
Allahyarham yang juga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Sebelum ini, beliau pernah mengalami masalah kesihatan yang sama dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Allahyarham memulakan tugas di Sinar Harian pada 4 Januari 2021 sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya pada 30 Disember 2022.
Semasa dalam tempoh perkhidmatan, Allahyarham sempat melancarkan portal berita bahasa Inggeris Kumpulan Karangkraf iaitu Sinar Daily.
Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun selepas memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!