Ucapan Muhyiddin serahkan kepada pihak berkuasa - Khaled Nordin

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya memandang serius kemurkaan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah hari ini terhadap tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan sengaja menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) dalam ucapannya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun berkata, perkara itu diserahkan kepada berkuasa untuk menyiasatnya.

"Saya pasti dengan titah (Tengku Mahkota Pahang) sedemikian, pihak yang bertanggungjawab akan mengambil serius untuk melihat apa yang wajar dilakukan,” katanya selepas hadir Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat kementerian 2024 di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini pada Isnin.

Bernama melaporkan Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang didakwa secara sengaja menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen pada PRK berkenaan.

Tengku Hassanal turut menzahirkan kemurkaan dan rasa terkilan dengan tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu yang mempertikai tugas dan peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Tengku Hassanal bertitah kenyataan Muhyiddin itu dilihat tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima hakikat bahawa beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Satu laporan polis juga telah dibuat oleh Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah berhubung perkara itu pada pukul 10 malam tadi.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata pihaknya sudah menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu dan akan memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu di Jitra, Kedah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat negeri Kedah di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, beliau yakin Muhyiddin akan memberi kerjasama bagi membantu siasatan pihak berkuasa mengenai perkara itu.

"Ada satu perenggan khusus, yang menyaksikan tuanku (Tengku Hassanal) bertitah supaya polis segerakan siasatan, sebab terang-terang pada pandangan baginda ada elemen hasutan (dalam ucapan Muhyiddin).

"Saya juga difahamkan oleh Ketua Polis Negara bahawa sudah ditetapkan satu tarikh Muhyiddin akan dipanggil beri keterangan. Saya percaya beliau tidak sukar untuk beri kerjasama, dan proses itu akan berlaku dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!