Pelajar maut motosikal dilanggar pacuan empat roda

Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda. Foto Polis
Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda. Foto Polis
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 21 Jalan Kuala Berang -Teris berhampiran Kampung Chapu di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, mangsa, Muhammad Aliff Haikal Zainuddin,14, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Motosikal mangsa rosak dan remuk akibat kemalangan. Foto Polis
Motosikal mangsa rosak dan remuk akibat kemalangan. Foto Polis

"Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Nitro NX 5 Impala tersebut secara tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri dan membelok ke kanan.

"Mangsa telah memasuki laluan kanan menyebabkan sebuah kenderaan Toyota Hilux dipandu seorang lelaki gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zainul Mujahidin berkata, akibat kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!