Siasatan isu 3R: Saifuddin yakin Muhyiddin beri kerjasama
JITRA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberikan kerjasama dalam siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Menurutnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa bekas Perdana Menteri itu akan dipanggil untuk memberikan keterangan pada Selasa.
"Saya baru baca kenyataan pegawai saya, dan ada perenggan khusus di mana Tuanku (Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) menggesa polis menyegerakan siasatan, kerana baginda percaya terdapat unsur-unsur hasutan yang jelas.
"Saya percaya Tan Sri Muhyiddin tidak akan menghadapi masalah untuk memberi kerjasama, dan proses itu akan berlaku tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Kedah 2024 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini.
Pada Isnin, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!