JIM laksana 11,903 operasi, tahan 900 majikan degil guna PATI

Sebanyak 11,903 operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sepanjang tahun ini sehingga Jumaat lalu. Gambar fail (Gambar kecil: Ruslin)
Sebanyak 11,903 operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sepanjang tahun ini sehingga Jumaat lalu. Gambar fail (Gambar kecil: Ruslin)
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 11,903 operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sepanjang tahun ini sehingga Jumaat lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada keseluruhan operasi dijalankan, sejumlah 106,432 pemeriksaan dilakukan.

Beliau berkata, seramai 29,030 individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

"Dalam operasi dijalankan sehingga pertengahan Ogos ini, JIM juga telah menahan 900 majikan kerana menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dan melindungi kumpulan warga asing.

"Fokus utama JIM adalah mengenalpasti majikan yang melakukan dua kesalahan tersebut, seterusnya mengambil tindakan tegas," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Ruslin berkata, lambakan PATI di negara ini ekoran majikan yang menggunakan khidmat PATI sebagai pekerja di premis masing-masing.

Tegas beliau, jika pihak majikan tidak berminat menggunakan PATI sebagai pekerja, isu lambakan warga asing dapat diatasi.

"Saya ingin tegaskan kepada pihak majikan di negara ini, jangan sesekali berani menggunakan PATI sebagai pekerja.

Artikel Berkaitan:

"Ia satu kesalahan besar dan tindakan tegas akan dikenakan kerana JIM sama sekali tidak akan berkompromi dalam perkara ini," ujarnya.

Sementara itu ditanya mengenai video tular di aplikasi TikTok berhubung kejadian di kaunter permit visa JIM Putrajaya, beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut secara telus.

Menurutnya, semua petugas di unit itu telah diambil keterangan berhubung kejadian tersebut.

Tegas beliau, JIM tidak pernah mengambil mudah terhadap setiap laporan dibuat oleh orang ramai, sebaliknya semua laporan diterima akan diambil tindakan.

"Ia dilakukan demi keadilan semua pihak. Pada masa ini, pegawai yang berada di bahagian visa telah diambil keterangan.

"Jika ada keperluan, kita juga akan memanggil pihak pengadu bagi dirakam keterangan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!