Pemilihan DAP: Kon Yeow belum tahu bertanding atau tidak

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

BAYAN LEPAS - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow masih belum mengetahui sama ada beliau akan dicalonkan untuk bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang akan diadakan pada September ini.

Menurutnya, perkara itu hanya boleh diketahui selepas tamat sesi penamaan calon bagi pemilihan parti itu nanti.

"Sebenarnya hari ini bukan hari terakhir untuk menghantar senarai calon tetapi pada 24 Ogos ini. Untuk pentadbiran, kita kumpul dari cawangan-cawangan Pulau Pinang bagi dihantar ke Pusat.

"Maka, mana-mana cawangan yang mahu menghantar melalui Ibu pejabat DAP Pulau Pinang, mereka harus melakukannya pada hari ini.

"Bagaimanapun, sekiranya pihak cawangan tidak mahu melalui ibu pejabat negeri, mereka tidak dihalang untuk menghantar terus ke Pusat kerana pemilihan ini dikendalikan oleh ibu pejabat Pusat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Food Bayana di sini pada Isnin.

Tambah beliau, semua proses pemilihan dilaksanakan oleh Jawatankuasa DAP Pusat.

"Di peringkat negeri, kita cuma menyediakan kemudahan sukarelawan dan hal-hal lain berkaitan pemilihan itu nanti. Pelaksana pemilihan adalah Jawatankuasa DAP Pusat.

"Oleh itu, kita perlu tunggu sedikit masa untuk mengetahui sama ada saya dicalonkan atau pun tidak. Saya pun tidak tahu dicalonkan atau pun tidak, kena tunggu proses sampai ke peringkat terakhir," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow (kanan) mendengar penerangan daripada salah seorang peniaga di Food Bayana mengenai fungsi robot di pusat makanan tersebut.
Kon Yeow (kanan) mendengar penerangan daripada salah seorang peniaga di Food Bayana mengenai fungsi robot di pusat makanan tersebut.

Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, setiap calon perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya daripada dua cawangan untuk melayakkan mereka bertanding.

"Selepas 24 Ogos nanti, DAP Pusat akan menghantar surat makluman kepada calon-calon yang layak.

"Calon-calon akan diberi tempoh tujuh hingga 14 hari untuk memberi maklum balas sama ada mereka menerima atau tidak pencalonan berkenaan. Selepas itu baru kita dapat senaraikan calon-calon yang bertanding," katanya lagi.

Sebelum ini, laporan media berbahasa Mandarin yang memetik sumber DAP mendakwa Kon Yeow tidak akan bertanding ada pemilihan DAP nanti.

Laporan tersebut juga mendakwa, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying, akan menjadi Pengerusi DAP negeri yang baharu selepas ini.

Dalam pemilihan DAP Pulau Pinang tiga tahun lalu, Kon Yeow dipilih menjadi Pengerusi DAP negeri dengan undian tertinggi iaitu majoriti sebanyak 1,211 undi.

Kongres dan pemilihan semula DAP Pulau Pinang kali ini akan diadakan di Spice Arena, di Bayan Lepas pada 22 September ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!