Muhyiddin, PN perlu buat permohonan maaf rasmi kepada Al-Sultan Abdullah - Dr Akmal
SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menyatakan permohonan maaf rasmi dan secara terbuka bagi memulihkan kesangsian serta keraguan yang telah dicetuskan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin jelas mencetuskan persepsi negatif dan kesangsian terhadap kebolehan dan keupayaan Seri Paduka.
Menurutnya, selaku ketua negara, Agong mempunyai kuasa yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 40(2) dan Perkara 43(2).
“Pemuda UMNO Malaysia melahirkan rasa dukacita di atas kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin berkenaan peranan dimainkan oleh Yang Dipertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dalam melantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Kami menjunjung kasih ke di atas titah tegas Tengku Mahkota Pahang agar pihak PDRM dapat mengambil tindakan tegas terhadap keterlanjuran yang telah dilakukan.
“Pemuda UMNO juga ingin mempersoalkan pimpinan PN yang terdiri daripada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), adakah kenyataan Tan Sri Muhyiddin adalah konsensus dan mewakili mereka kesemua?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, didakwa menyentuh isu 3R iaitu berkaitan kaum, agama dan raja ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihak polis telah menerima 30 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara tersebut.
Susulan itu jelasnya, polis akan merakam keterangan Muhyiddin di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral, Kuala Lumpur pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!