[VIDEO] Keropok beracun: Pekebun dakwa difitnah, mahu keadilan
KULIM - Pekebun yang dikaitkan dengan dua kanak-kanak maut selepas termakan keropok beracun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini mempertikaikan dakwaan bahawa makanan ringan itu diambil dari kebunnya.
Uzair Shafawi Hasbullah, 34, mendakwa, amalan racun dicampur keropok bukan dilakukan dirinya seorang, malah turut dipasang di beberapa kebun lain bagi tujuan menghalau haiwan liar termasuk di ladang sawit berhampiran.
Dakwanya, nenek mangsa sebelum ini ada memaklumkan bahawa makanan ringan yang dimakan cucunya itu diambil dari ladang kelapa sawit dan bukan miliknya.
"Tok dia kata (keropok yang diambil) gantung kat sawit, bukan saya punya!," dakwanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Isnin.
Selain itu, Uzair mendakwa, kedudukan plastik keropok dicampur racun di kebun miliknya dipasang pada ketinggian kira-kira 1.37 meter dan mustahil untuk dicapai oleh mangsa yang berusia dua dan tiga tahun.
"Saya tak buang bukti, macam mana budak boleh masuk dalam semak (lokasi dipasang keropok) ular bisa banyak...Keropok yang hilang tu dipasang di pagar sebelah semak, bukan pagar tepi jalan.
"Tak mungkin budak boleh ambik sebab letak tinggi dan ada semak...Saya pelik nenek mangsa kata kanak-kanak tu bawak balik keropok ada benang, buka makan dalam rumah, kalau orang bagi... dia 'seal' elok, kalau kera ambik, akan koyak, berterabur,"dakwanya.
Pada Ahad, tular satu video yang dimuat naik Uzair di laman sosial mengenai dakwaan mengatakan dua kanak-kanak itu terabai tanpa pengawasan orang dewasa sehingga mengakibatkan mangsa termakan keropok dicampur racun.
Video berdurasi sembilan minit dan 31 saat di Facebook itu telah dikongsi lebih 53,000 pengguna, disukai lebih 67,000 orang dan mendapat lebih 10,000 komen.
Jelasnya, tujuan memuat naik video terbabit adalah mahukan keadilan terhadap dirinya memandangkan Uzair telah direman selama lapan hari bagi membantu siasatan sedangkan keluarga mangsa tidak disiasat atas kesalahan pengabaian kanak-kanak.
"Saya nak keadilan, tak mau satu pihak kena, satu pihak lagi tak kena," jelasnya.
Dalam pada itu, Uzair menjelaskan, buat masa ini, dia tidak lagi menggunakan racun bagi tujuan mengatasi masalah haiwan liar di kebun pisang miliknya seluas kira-kira 0.8 hektar, sebaliknya hanya bergantung kepada sangkar besi yang dibekalkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Sebelum ini, Sinar Harian pada Julai lalu melaporkan Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia selepas dikesan makan keropok dicampur racun yang dipercayai diambil dari kebun tidak jauh dari rumah mereka.
Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu kemungkinan mengambil peket keropok yang digantung oleh pekebun bagi tujuan perangkap haiwan liar.
Kejadian itu disedari ibu mangsa pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa kedua-dua anaknya untuk rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!