'Itu gambar lama' - ADUN Jengka sedia ambil tindakan

Tangkapan layar hantaran dan sekeping gambar Shahril Azman pada Isnin.
Tangkapan layar hantaran dan sekeping gambar Shahril Azman pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Shahril Azman Abd Halim menafikan dakwaan sekeping gambar yang tular di laman sosial mendakwa beliau memberi sogokan dalam berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.

Tegas Shahril Azman, sebaliknya ia adalah gambar lama yang diambil ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Gambar ini bukan di Kelantan dan saya tidak pernah terlibat sebarang kempen di Nenggeri secara bersemuka seperti didakwa.

"Ini adalah fitnah, saya berharap individu yang muat naik gambar ini bertaubat, sebelum kita saman," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Isnin, tular satu hantaran di laman sosial Facebook oleh seorang pemilik akaun, berbunyi "Steady PN (Perikatan Nasional) Pahang. Kat Pahang kaba takda duit. Sampai kelantan dia tabur duit. Cilako, Sapo kenai dia ni?

Sekeping gambar memaparkan Shahril Azman memakai baju PN bersalaman individu yang duduk di kedai terbabit.

Bagaimanapun, hantaran terbabit kemudian dikongsikan oleh kumpulan suara penduduk Jengka.

Mengulas lanjut, Shahril Azman menjelaskan bahawa gambar tersebut dirakam ketika beliau dan rombongannya singgah di sebuah kedai lemang yang dikenali sebagai Mezad Rantau Perintis, Jengka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada ketika itu, mereka dalam perjalanan semasa kempen PRU15 dan telah berhenti sebentar untuk membeli lemang daripada peniaga tempatan.

Tambahnya, perkara terbabit juga telah dijelaskan oleh peniaga terbabit pada 2 November 2022.

"Ini adalah tuduhan palsu bagi merosakkan reputasinya sebagai seorang wakil rakyat.

"Saya harap kenyataan ini dapat menamatkan berita palsu yang tersebar di media sosial" ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!