Pemuda Amanah kecam tindakan Muhyiddin
SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini.
Ketuanya, Hasbie Muda berkata, kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu jelas merupakan cubaan licik untuk mengaburi mata rakyat dan menghasut rasa tidak percaya terhadap kedudukan dan kebijaksanaan Seri Paduka dalam melantik Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, tindakan sedemikian adalah satu penghinaan yang nyata terhadap institusi Diraja yang memegang amanah tertinggi negara ini.
“Tindakan beliau bukan sahaja mempersoalkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, tetapi juga mengancam kestabilan negara dengan menimbulkan rasa sangsi terhadap kuasa dan peranan Seri Paduka yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pemuda Amanah Nasional menyeru pihak berkuasa khususnya PDRM untuk mengambil tindakan tegas dan segera terhadap sebarang cubaan yang boleh mengancam institusi Diraja, tanpa mengira siapa pun individu tersebut.
“Undang-undang tidak boleh dipermainkan dan perlu dikuatkuasakan secara saksama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Hasbie turut mengingatkan Perikatan Nasional (PN) bahawa membawa politik perkauman dan keagamaan sempit boleh menghancurkan keharmonian masyarakat.
Pada masa sama, beliau mendesak agar Muhyiddin meminta maaf secara terbuka kepada Yang Dipertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan yang biadab dan tidak berasas itu.
“Sekiranya beliau enggan, tindakan undang-undang perlu diambil bagi memastikan tiada lagi penghinaan terhadap institusi Diraja kita pada masa akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!