Sokongan keluarga, tidur mencukupi rahsia emas Elvis Priestly

Elvis Priestley ketika beraksi dalam acara tiga meter papan anjal lelaki pada temasya Sukma Sarawak 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, hari ini. Foto Bernama
Elvis Priestley ketika beraksi dalam acara tiga meter papan anjal lelaki pada temasya Sukma Sarawak 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, hari ini. Foto Bernama
A
A
A
SOKONGAN keluarga dan rutin tidur mencukupi antara faktor mendorong penerjun Sarawak, Elvis Priestly Clement merangkul pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal lelaki iaitu pingat akuatik pertama Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Atlet berusia 18 tahun yang kali pertama beraksi di hadapan ahli keluarganya mengungguli acara dengan mengumpul 415.15 mata selepas menyempurnakan enam terjunan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini.

Elvis Priestly mengetepikan rakan sepelatih dalam pasukan kebangsaan, Yong Rui Jie dan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dari Wilayah Persekutuan yang masing-masing memenangi perak dan gangsa dengan 388.80 dan 377.65 mata.

Elvis Priestly ketika ditemui pemberita berkata, kebiasaannya jika menyertai kejohanan, dia akan mendapatkan tidur yang mencukupi bagi memastikannya dapat fokus dan sentiasa tenang.

"Saya rasa berpuas hati dapat mengatasi rakan-rakan kerana kita sentiasa bersaing ketika latihan. Saya sangat bersemangat dengan kehadiran keluarga kerana jarang datang tengok, terutamanya jika pertandingan di luar.

"Sasaran utama bagi tahun ini adalah untuk meraih kedudukan podium pada Kejohanan Dunia Remaja (di Rio de Janeiro bermula 24 November hingga 1 Disember) bagi tahun ini. Matlamat besar adalah berjaya di pentas Olimpik nanti,” katanya.

Elvis Priestly juga berhasrat untuk memenangi emas ketiganya di Sukma apabila sekali lagi turun dalam acara 10m platform seirama lelaki bersama Enrique Maccartney Harold esok manakala acara individu pula berlangsung pada Khamis.

Sementara itu, Sarawak menyapu kesemua dua pingat emas ditawarkan pada hari pertama akuatik membuka tirai apabila Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj-Nurul Farisya Alia Affendi mengungguli 10m platform seirama wanita.

Gandingan tuan rumah itu mengumpul 262.08 mata, menewaskan Terengganu diwakili Ilyssa Ixora Imran-Uzlifatil Jannah Ashraf (197.10 mata) dan Cecelia Olivia Christopher Leoneil-Siti Nurul Jannah Malik (189.75 mata) dari Perak yang masing-masing meraih perak dan gangsa. - Bernama
Artikel Berkaitan:


Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!