Hawa Rizwana tetap utama gaya hidup sihat
DI SEBALIK kesibukan tugas dan jadual kerja yang padat, pengacara berwajah ayu ini menjalani gaya hidup aktif dengan mencuba pelbagai aktiviti sukan lasak yang mencabar ketahanan mental dan fizikalnya.
Antaranya berbasikal, mendaki, menyelam dan tinju, malah dia juga menyertai acara marathon dan larian ria termasuk yang dianjurkan di luar negara bagi menimba pengalaman berbeza.
"Bagi Hawa, setiap aktiviti ada keistimewaan dan dapat meluaskan pergaulan dengan cabang komuniti berlainan. Contohnya kalau mendaki, dapat jelajah hutan dan air terjun di Malaysia, berbasikal pula dapat melatih daya ketahanan mental dan sifat waspada.
"Kalau tinju pula, kita belajar tentang tumbukan untuk elak dibuli, untuk tak rasa takut dan ajar untuk lebih fokus," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada acara larian ria City2Surf yang dianjurkan di Sydney, Australia baru-baru ini.
Ditanya tentang aktiviti paling diminati, pengacara program hiburan MeleTOP yang pernah menakluki puncak Gunung Kinabalu itu berkata, setiap satu daripada hobi itu memberi kepuasan dan pengalaman berbeza.
"Kepuasan dari segi stamina pastinya kickboxing sebab pergerakan berbeza dan tidak boleh dijangkakan tapi kalau dari segi pemandangan cantik Hawa suka selam skuba.
"Bertuah kita di Malaysia kerana mempunyai pulau yang cantik dengan pelbagai hidupan laut, kawan-kawan diving pun baik-baik belaka," kongsinya yang bakal mencecah usia 29 tahun September depan.
Bekas pembaca berita itu berpandangan, aktiviti sedemikian bukan sahaja meningkatkan kecergasan dan stamina, malah membantunya mengekalkan berat badan yang bersesuaian serta menjaga tahap kesihatan sekali gus menyumbang kepada minda yang lebih tenang.
Berkongsi lanjut, Hawa yang pernah menjayakan program realiti adaptasi Korea Selatan Real Men Malaysia akan memanfaatkan peluang dan 'mencuri' masa sekurang-kurangnya 30 minit, tiga kali seminggu untuk bersenam.
"Selalu kalau masa suntuk, di rumah Hawa akan skipping, menari, indoor bike atau senaman HIIT (High-Intensity Interval Training) sendiri untuk nak keluarkan peluh, aktiviti cuci kereta pun Hawa anggap sebagai senaman bila tak sempat untuk buat aktiviti di luar," katanya yang juga mementingkan tidur yang cukup dalam memastikan kesihatan dan produktiviti berada pada tahap optimum.
Selain bersenam, pelakon The Cadets itu juga turut mengamalkan pemakanan seimbang selain memilih untuk memulakan hari dengan mendengar video motivasi dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai penenang serta cara untuk 'set semula' minda.
"Hawa tak amalkan diet yang ketat sebaliknya seronok makan tapi dalam kuantiti terkawal, cuma kalau terlebih makan Hawa akan gantikan dengan senaman yang lebih banyak," katanya yang kini aktif menyertai acara larian half marathon 21 kilometer, antaranya Gold Coast Marathon dan PJ Half Marathon. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!