Lelaki tular ketuk cermin kereta ditahan

Video berdurasi 11 saat tular di laman sosial X memaparkan seorang lelaki memegang atap genting mengetuk cermin sebuah kereta yang di parkir di tepi jalan.
Video berdurasi 11 saat tular di laman sosial X memaparkan seorang lelaki memegang atap genting mengetuk cermin sebuah kereta yang di parkir di tepi jalan.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki yang tular membaling dan mengetuk cermin sebuah kereta menggunakan atap genting di Taman Wing Onn di sini, ditahan polis pada 15 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya terkesan dengan satu video mengenai kejadian tersebut yang dimuat naik melalui aplikasi media sosial X pada Isnin.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 14 Ogos daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendapati kereta miliknya di parkir di tepi jalan dibaling dan diketuk individu tidak dikenali.

"Bertindak atas maklumat, pada 15 Ogos, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun yang merupakan pemegang kad OKU (orang kurang upaya) mental untuk membantu siasatan.

"Hasil semakan rekod jenayah juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau kesalahan jenayah," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Abang Zainal Abidin berkata, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat.

Menurutnya, pihak polis sedang melengkapkan siasatan kes tersebut dan akan merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwa Raya Perak untuk cadangan pertuduhan terhadap suspek.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu pada Ahad satu video berdurasi 11 saat tular di laman sosial X memaparkan seorang lelaki memegang atap genting mengetuk cermin sebuah kereta yang di parkir di tepi jalan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!