'Saya tak berniat hina Institusi Raja' - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tidak berniat menghina Institusi Raja.

Bekas Perdana Menteri itu menerusi satu kenyataan memaklumkan ucapan berkenaan adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.

“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara,” katanya menerusi Facebook pada Isnin,

Beliau dalam pada itu berjanji memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan yang dikeluarkan.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa menyentuh isu 3R iaitu berkaitan kaum, agama dan raja ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Berikutan itu Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada jam 10.38 malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihak polis telah menerima 30 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara tersebut.

Susulan itu jelasnya, polis akan merakam keterangan Muhyiddin di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral, Kuala Lumpur pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!