Thailand cadang wujud kawasan gambut bebas jerebu di ASEAN menjelang 2030
Cadangan itu dikemukakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Sumber Asli, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan (DNP) Thailand, Athapol Charoenshunsa pada mesyuarat kesembilan Pasukan Petugas ASEAN mengenai Tanah Gambut di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).
Athapol berkata, Thailand komited untuk bekerjasama dengan negara anggota mengenai kawasan tanah gambut dengan bertukar-tukar maklumat untuk menangani pencemaran jerebu rentas sempadan dan menyemak laporan kemajuan untuk menjadikan ASEAN sebagai rantau bebas jerebu.
Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap usaha bersama di bawah strategi pengurusan tanah gambut ASEAN kedua, yang merangkumi pembangunan pelbagai alat dan mekanisme seperti rangka kerja pemantauan dan penilaian (M&E), Pelan Kerjasama ASEAN Kedua mengenai Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan, serta Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Bebas Jerebu yang Lestari.
Menurut beliau, inisiatif itu akan mengukuhkan pengurusan kawasan gambut dan membantu menyelesaikan isu jerebu rentas sempadan, sekali gus mengurangkan jerebu semasa musim kemarau.
Acara yang diadakan di Bangkok pada 15 Ogos itu dihadiri pegawai dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Vietnam dan Timor-Leste serta wakil daripada pelbagai agensi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!