PuTERA35 tingkat peranan signifikan bumiputera - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pada Isnin. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang dilancarkan menjadi dokumen baharu mendorong bumiputera dalam usaha meningkatkan peranan yang lebih signifikan ke arah pembangunan sosioekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan PuTERA35 perlu dipantau lebih dekat supaya ia berjaya memartabatkan bumiputera dalam tempoh 10 tahun tanpa meminggirkan kaum lain.

"PuTERA35 ini perlu dipantau, kita mahu merancang tetapi tanggungjawab saudara dari agensi kerajaan, syarikat kerajaan, jabatan dan kementerian untuk menjayakannnya.

"Kita akan pantau dari dekat dan mahu pelan ini berjaya untuk memartabatkan Bumiputera serta rakyat Malaysia," katanya ketika berucap di majlis Peluncuran PuTERA35 di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mungkin dilihat sebagai Perdana Menteri yang paling sedikit berbicara soal bumiputera dan dasar ekonomi bumiputera.

"Saya lebih berminat untuk memastikan pelaksanaanya daripada menghebahkan dasarnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, mana-mana agensi kerajaan yang mengendalikan pembangunan bumiputera akan dianggap pengkhianat lebih besar jika merosakkannya dengan tatakelola yang rendah dan menggunakan pelan itu untuk kepentingan peribadi.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau mahu agensi berkenaan melaksanakan proses pelaksanaan PuTERA35 lebih teliti, cekap dan bertanggungjawab.

“Kalau tidak kita curah berpuluh bilion ringgit, ia masih tiris dan bocor dan kesannya tidak sampai ke peringkat akar umbi menyebabkan dalam kalangan anak muda dan rakyat merasa resah kerana bunyinya hebat, perancangannya memukau tapi pelaksanaan tidak ke mana.

“Dalam pelan perancangan, sebelum kita terus ke peringkat pelaksanaan yang nak laksanakan ini siapa? Tentunya agensi bumiputera.

"Maka mereka harus pastikan proses pelaksanaan itu lebih teliti, lebih cekap, lebih bertanggungjawab,”

Mengangkat tema Penyertaan, Pemilikan dan Pengiasaan (3P), PuTERA35 menekankan peri penting aspek keseluruhan pembangunan termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asli bagi menjamin asas kelangsungan, keutuhan dalam pengagihan kekayaan, kesaksamaan serta keadilan sosial.

PuTERA35 disokong oleh tiga teras iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tatakeoloa dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.

Selain itu, turut digariskan, 12 pemacu dan 132 ikhtiar.

Perincian program dan projek bagi setiap ikhtiar yang meliputi jangka masa pendek, sederhana dan panjang akan disediakan oleh agensi pelaksana berkaitan dan diselaraskan oleh kementerian.

Ketiga-tiga teras yang berbentuk struktural itu merupakan asas penting kepada kemampuan sosioekonomi, keutuhan tatakelola dan institusi, serta keadilan sosial.

Langkah strategik melalui PuTERA35 ini yang turut melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat swasta bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada ekonomi bumiputera, tetapi juga komuniti bukan bumiputera yang memerlukan tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Mengambil kira trend mega yang dijangka akan mempengaruhi dunia dan masyarakat pada masa hadapan, pelan transformasi ini dibangunkan bagi membuka ruang dan peluang kepada bumiputera untuk memanfaatkan sektor dan industri yang digerakkan oleh keperluan industri pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV) dan berasaskan teknologi termaju.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!