SSM terima 591 aduan penipuan pelaburan sejak 2022

Ahmad Sabki (tiga, kanan) beramah mesra bersama penerima replika cek Agihan Wakalah Zakat Korporat pada Program Bimbingan Usahawan di Dewan Pekerti pada Isnin. Foto Bernama
Ahmad Sabki (tiga, kanan) beramah mesra bersama penerima replika cek Agihan Wakalah Zakat Korporat pada Program Bimbingan Usahawan di Dewan Pekerti pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan sebanyak 591 aduan terhadap syarikat yang menawarkan pelaburan secara fraud dan pelaburan di bawah Skim Kepentingan 2016, bermula 2022 hingga Julai lalu.

Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof berkata, statistik itu menunjukkan bahawa penipuan pelaburan masih menjadi masalah yang serius dalam negara.

"Berdasarkan rekod SSM, sebanyak 28 penipuan pelaburan telah dicatatkan pada 2022, manakala penipuan bagi Skim Kepentingan 2016 adalah tiga.

"Bagi tahun lalu pula, aduan penipuan pelaburan naik mendadak iaitu sebanyak 320, manakala penipuan Skim Kepentingan 2016 adalah 46. Bagi tahun 2024 pula setakat Julai lalu adalah sebanyak 190 penipuan pelaburan dan empat penipuan skim Kepentingan 2016," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bimbingan Usahawan peringkat Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Ujarnya, usaha berterusan dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai isu penipuan ini adalah penting untuk memastikan orang awam tidak mudah terjebak dalam gejala pelaburan haram.

"SSM telah mengambil inisiatif menggerakkan kempen kesedaran berkaitan 'Scam Alert' sejak 2018 bagi menyebarkan maklumat dan ciri-ciri pelaburan haram.

"Ia bagi membantu orang awam memperoleh maklumat sekali gus mengelak mereka terjebak dalam gejala pelaburan haram berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai program berkenaan, beliau berkata, pendedahan awal dalam bidang perniagaan adalah amat penting dalam membentuk budaya keusahawanan yang kukuh di negara ini.

Tambahnya, dalam mencapai objektif itu, SSM turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan kesedaran kepada komuniti perniagaan berkenaan kepentingan pendaftaran perniagaan, strategi perniagaan serta kaedah pemasaran digital dalam menjalankan perniagaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!