Pulau Pinang nafi pelancong China dirawat kerana koronavirus

Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV). -Foto Bernama
Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV). -Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menafikan terdapat pelancong dari China yang dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCov) seperti yang ditularkan dalam sebuah video hari ini.

JKNPP dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini berkata sehingga hari ini, tiada kes yang disahkan positif koronavirus di Pulau Pinang.

"Pihak JKNPP sentiasa melaksanakan langkah seperti yang disyorkan oleh World Health Organisation (WHO). Selain itu, diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan mengambil video atau gambar di kawasan hospital tanpa kebenaran pihak hospital selaras dengan pekeliling yang dikuatkuasakan," menurut kenyataan itu.

Video yang berdurasi selama 19 saat itu memaparkan bahagian unit rawatan di HPP yang didakwa dikosongkan berikutan terdapat pelancong warganegara China yang terkena jangkitan dan menerima rawatan di hospital tersebut.

Video berkenaan mendapat perhatian warganet yang bimbang dengan penularan wabak berkenaan di Pulau Pinang.-Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Kerajaan cadang bawa pulang rakyat dari Wuhan

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!