Pas nafi keluar kenyataan berhubung isu Muhyiddin

Takiyuddin menafikan sekeras-kerasnya Pas mengeluarkan kenyataan berhubung isu Muhyiddin.
Takiyuddin menafikan sekeras-kerasnya Pas mengeluarkan kenyataan berhubung isu Muhyiddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mempertikaikan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media bertajuk 'Amaran Keras Kepada Pemimpin yang Mempermainkan Institusi Diraja dan Istana'.

Menurutnya, kenyataan media yang dikeluarkan pada 19 Ogos itu adalah palsu.

“Sedang tular kenyataan media palsu yang dikaitkan dengan diri saya dan Pas oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut,” tegasnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, tular satu rakaman memaparkan bekas Perdana Menteri itu seolah-olah secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin kerana memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Ekoran itu, Istana Pahang membuat satu laporan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!