JKR serah dua fasiliti pendidikan KPM siap dibina

Majlis penyerahan tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek (tengah) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Zahrul Hakim Abdullah serta pengurusan tertinggi daripada kedua-dua kementerian.
Majlis penyerahan tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek (tengah) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Zahrul Hakim Abdullah serta pengurusan tertinggi daripada kedua-dua kementerian.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menyerahkan dua projek fasiliti milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah siap dibina.

JKR dalam satu kenyataan berkata, dua projek itu merupakan pembinaan gantian penuh bangunan enam bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap dan pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Selangor.

Kata kenyataan itu, projek gantian bangunan enam bilik darjah merupakan pembinaan bangunan PPKI yang julung-julung kalinya di Selangor dan boleh menjadi model contoh kepada sekolah lain yang sedang dalam peringkat perancangan dan pembinaan.

"Projek ini telah dimulakan pada 3 Ogos 2021 dan siap sepenuhnya pada 20 Jun lalu dengan kos bernilai RM3.38 juta. Ia merangkumi lima bilik darjah untuk masalah pembelajaran dan sebuah bagi masalah pendengaran, bilik guru, bilik masakan, bilik rekreasi, bilik pengurusan diri, tandas dan ruang bengkel.

"Terdapat juga kerja-kerja mekanikal, elektrikal dan sistem pencegahan kebakaran. Kontraktor yang dilantik adalah Drive Zenith Sdn Bhd Projek ini diketuai oleh JKR Selangor dan Pegawai Penguasanya adalah JKR Sabak Bernam.

Fadlina (tengah) meninjau ruang pameran kreativiti pelajar.
Fadlina (tengah) meninjau ruang pameran kreativiti pelajar.

"Pembinaan bangunan ini bertujuan menyediakan fasiliti pembelajaran kondusif dan selesa kepada anak–anak murid pendidikan khas di mana sebelum ini dilaksana dalam kontena diubahsuai menjadi bilik darjah.

"Bangunan baharu ini juga bagi menampung pertambahan bilangan pelajar, ia dapat menempatkan seramai 29 murid PPKI dan 10 guru termasuk seorang guru penolong kanan," katanya pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Majlis penyerahan tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Zahrul Hakim Abdullah serta pengurusan tertinggi daripada kedua-dua kementerian.

Dalam pada itu, jelas kenyataan tersebut, projek kedua iaitu pembinaan semula bangunan daif SK Sungai Haji Dorani bernilai RM4 juta yang mula dibina 11 Oktober 2023 dan siap sepenuhnya 9 Julai 2024.

No Image Caption

Ujarnya, ia menggantikan bangunan sedia ada yang uzur dan penambahan ruang kelas lebih selesa serta selamat selain boleh digunakan sebagai dewan tertutup untuk program-program sekolah sekali gus mengoptimakan penggunaan fasiliti yang dibina.

"Seramai 270 murid dan 23 guru bakal mendapat manfaat daripada projek pembinaan bangunan sekolah yang mempunyai lima buah bilik darjah, tandas murid dan tandas murid berkeperluan khas (OKU).

"Projek ini diketuai oleh JKR Malaysia dari Cawangan Kerja Pendidikan di mana Pegawai Penguasannya adalah JKR Sabak Bernam. Kontraktor yang dilantik bagi projek ini adalah Gading Resources Sdn Bhd.

"KKR merakamkan penghargaan kepada KPM yang telah memberikan kepercayaan serta kerjasama kepada pihak JKR Selangor khususnya dalam penyeliaan di tapak sehingga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.

"Sepanjang proses perancangan, pembinaan dan penyeliaan ini telah memberikan pengalaman serta pengajaran berguna dan akan dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek-projek serupa di masa hadapan ke arah pengurusan projek yang lebih baik dari segi kualiti, kos serta masa," katanya.

Sementara itu, KKR turut menyeru kepada pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) di mana pihak JKR akan terus memantau proses pasca penyerahan bangunan supaya tiada perkara tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan berkuatkuasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!