'Setiap hari saya berdoa' - Al-Sultan Abdullah

Tengku Hassanal (kiri) bersama Al-Sultan Abdullah ketika berkenaan mencemar duli melawat mangsa kebakaran tiga buah rumah teres di Taman Kempadang Makmur, di sini pada Isnin.
Tengku Hassanal (kiri) bersama Al-Sultan Abdullah ketika berkenaan mencemar duli melawat mangsa kebakaran tiga buah rumah teres di Taman Kempadang Makmur, di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru agar rakyat di Pahang supaya berdoa dan melakukan solat sunat istisqa bagi memohon hujan berikut cuaca panas melanda pada ketika ini.

Baginda bertitah, semua pihak tidak boleh berputus asa dalam melaksanakannya demi kesejahteraan bersama.

"Hutan terbakar, sungai kering, itu semua kuasa ALLAH SWT dan kita harus terus berdoa mohon hujan dan solat istisqa.

"Saya setiap hari berdoa juga, kita semua rakyat kena berdoa jangan ada kemarau, jangan ada banjir dan segala musibah. Teruskan berdoa,” baginda bertitah.

Al- Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli melawat mangsa kebakaran tiga buah rumah teres di Taman Kempadang Makmur, di sini pada Isnin.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Baginda berkenaan mengurniakan sumbangan kepada tiga keluarga terlibat dalam kebakaran yang berlaku di Pinggiran Putra 4, Taman Kempadang Makmur di sini pada Khamis lalu.

Kejadian terbabit mengakibatkan salah sebuah rumah hampir musnah dengan peratusan kebakaran 80 peratus, manakala peratusan kebakaran rumah kedua dan ketiga kira-kira 40 peratus.

Artikel Berkaitan:

Al- Sultan Abdullah turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak membuat perkara yang boleh mencetus kepada kebakaran.

Al-Sultan Abdullah memaklumkan sesuatu ketika mencemar duli melawat mangsa kebakaran tiga buah rumah teres di Taman Kempadang Makmur, di sini pada Isnin.
Al-Sultan Abdullah memaklumkan sesuatu ketika mencemar duli melawat mangsa kebakaran tiga buah rumah teres di Taman Kempadang Makmur, di sini pada Isnin.

Baginda bertitah, kebakaran yang berlaku bukan sahaja disebabkan oleh cuaca kering, tetapi ada kalanya berpunca kecuaian manusia.

"Kalau boleh merokok dan membakar di tempat-tempat kering cuba elak. Kasihan kepada anggota bomba kena kejar sana sini, tidak terkejar kerana dia bukan `Superman'.

"Kita nasihat supaya hati-hatilah. Jangan mudah-mudah buang putung rokok dan bakar sewenang-wenangnya. Kena ambil kiralah perkara yang boleh mengakibatkan kebakaran itu berlaku,” titah baginda lagi.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) bagi kawasan Tanjung Lumpur dibangunkan.

Baginda bertitah, ia menjadi satu keperluan kerana setiap tahun kawasan sekitar Tanjung Lumpur, Inderapura dan Penor berlaku kebakaran.

"Semakin hari ramai penduduk, banyak pembangunan perumahan sedang giat dibangunkan dan kita harap balai bomba ini dapat diusahakan kerajaan," titah baginda.

@sinarharianonline

Semua rakyat kena berdoa jangan ada kemarau - Sultan Pahang #fyp #SinarHarian #Kemarau #AlSultanAbdullah #SultanPahang #CuacaPanas

News - ComaStudio

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!