Amelia Henderson percaya pada rezeki
PENGLIBATAN wanita tinggi lampai ini dalam industri seni bukan baru bermula. Sebaliknya sejak berusia setahun lagi, Amelia Thripura Henderson sudah didedahkan di depan kamera sebagai model iklan.
Langkahnya semakin luas apabila diberi tawaran berlakon bermula usia 10 tahun dan selepas hampir dua dasawarsa bergelar anak seni, Amelia mengakui sudah banyak onak ranjau yang dilaluinya.
Biarpun memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kes mahkamah yang sedang dilaluinya, wanita berusia 28 tahun itu berpendapat, setiap cabaran yang dilalui selama ini adalah satu perkara biasa.
Namun, dek kerana cinta yang mendalam terhadap dunia seni, anak kacukan British-India itu tidak berasa kecewa dengan ujian yang dilaluinya.
"Tidak dinafikan banyak cabaran yang dilalui, tetapi saya tidak anggap ia sebagai satu cabaran besar. Saya rasa dalam mana-mana bidang atau pekerjaan sekalipun pasti akan ada cabaran yang perlu dihadapi.
"Saya tidak suka untuk terlalu memikirkan cabaran industri kerana bila buat kerja dalam bidang yang kita suka, pasti mampu mengharunginya," ujarnya kepada Sinarplus.
Amelia berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, Harimau Malaya: The Untold Journey di Damansara baru-baru ini.
Tambah anak pertama daripada dua orang adik-beradik itu, beliau melihat apa sahaja cabaran sebagai satu perkara biasa dan percaya pada rezeki.
"Kita tidak perlu lihat semua benda dari sudut negatif. Sebaliknya, jika ada dugaan atau penolakan terhadap sesuatu watak contohnya, ia adalah untuk kebaikan kita.
"Mungkin tidak cukup bagus atau ada kekurangan diri yang kita sendiri tak nampak. Jadi, kita perlu perbaiki diri. Saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat," jelasnya.
Realisasi impian
Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam filem arahan sutradara Datuk Afdlin Shauki itu, Amelia menyifatkan tawaran yang datang pada saat akhir itu sebagai sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.
Jelasnya, beliau sudah lama menyimpan impian untuk bekerja dengan pengarah prolifik itu, ditambah watak yang ditawarkan berbeza dan menarik.
"Sudah lama saya teringin bekerja dengan Datuk Afdlin. Walaupun saya ditawarkan dua hari sebelum penggambaran, saya tidak fikir panjang untuk terima.
"Lagipun saya juga mahu terokai watak berbeza dan bila dicabar pula dengan karakter Amy, saya kira inilah masanya untuk merealisasikan impian tersebut," katanya.
Amelia berkata, beliau juga tidak berdepan cabaran besar dalam menjayakan watak Amy meskipun menyertai penggambaran pada saat akhir.
Lebih seronok apabila berpeluang bekerja dengan nama besar dalam dunia komedi seperti Douglas Lim, Kavin Jay dan Hazama.
"Pada awalnya, risau juga kalau tidak seiring dengan mereka, saya akan tenggelam. Tetapi Douglas, Kavin dan Hazama memberi peluang dan ruang untuk saya bergerak seiring dengan mereka.
"Lebih lucu bila ada yang harap akan ada cerita tambahan mengenai Amy dan Lionel (lakonan Douglas). Masa berlakon pun sudah rasa nak pecah perut gelak, tak tahulah kalau kami perlu jayakan cerita romantik pula," seloroh Amelia.
Berkongsi perkembangan lain, Amelia berkata, selain Harimau Malaya: The Untold Journey, dua buah lagi filem lakonannya dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.
Dalam masa sama, Amelia merancang untuk memberi tumpuan kepada fail media digital (podcast) Studio Sembang yang dikendalikan sejak 2022.
"Saya bertuah kerana ada pasukan yang bantu buat penyelidikan fakta untuk pastikan kandungan yang kami bawakan boleh memberi input berguna kepada penonton.
"Lebih membanggakan apabila ada yang jumpa saya dan cakap mengenai Studio Sembang. Maklumlah, saya mulakan Studio Sembang di kala podcast tidak terlalu popular di Malaysia," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!