Allahyarham Rozaid legenda industri media
SHAH ALAM - Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO), Rozaid Abdul Rahman merupakan legenda industri media kerana mampu mengharungi perjalanan kerjayanya yang penuh cabaran.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, walaupun Allahyarham tidak mengenali pekerja ketika terpaksa bekerja dari rumah disebabkan Covid-19, namun beliau tetap bijak mengatur strategi bagi mengatasinya.
“Saya ingat lagi pada hari kedua beliau melaporkan diri, kami diarahkan bekerja dari rumah disebabkan beberapa petugas dijangkiti Covid-19. Allahyarham tidak mengenali lagi editor, wartawan atau grafik artis, namun beliau berjaya memberi arahan dan memulakan mesyuarat dalam talian serta di aplikasi Whatsapp.
“Bagi saya, Rozaid adalah lagenda industri. Beliau pernah menjadi editor di akhbar bahasa Inggeris, Ketua Pengarang untuk akhbar bahasa Melayu, Pegawai Media kepada Menteri serta Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Perdana Menteri.
“Perjalanan kerjaya beliau penuh warna dan lantaran itu beliau sangat dikenali serta dikagumi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman, 59, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Putra Heights pada Ahad.
Sebelum ini, beliau pernah mengalami masalah kesihatan yang sama dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Allahyarham memulakan tugas di Sinar Harian pada 4 Januari 2021 sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya pada 30 Disember 2022.
Semasa dalam tempoh perkhidmatan, Allahyarham sempat melancarkan portal berita bahasa Inggeris Kumpulan Karangkraf iaitu Sinar Daily.
Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun selepas memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.
Zamri memaklumkan Allahyarham sebelum ini adalah salah seorang editor yang sangat dikagumi di Utusan Malaysia lantaran pada usia yang muda meningkat naik dalam kerjaya sebagai wartawan.
Menurutnya, beliau ketika itu mendapat kepercayaan untuk membuat liputan Perjanjian Hadyaai pada 1989.
“Allahyarham selalu bercerita dengan kami, beliau antara wartawan Malaysia pertama mendapat temu bual eksklusif bersama Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng,” tambahnya.
Zamri tidak menyangka berpeluang untuk bekerja di bawah pentadbiran Allahyarham di Sinar Harian sebagai Ketua Pengarang selepas hanya mengaguminya berbelas tahun semasa beliau berada di The Star.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!