Sukma 2024: Terengganu, Kelantan mara ke separuh akhir bola sepak
Aksi pemain Terengganu (jersi hitam) berusaha menghalang pergerakan pemain Sabah dalam perlawanan bola sepak lelaki Kumpulan B sempena temasya Sukma Sarawak 2024 di Stadium Tun Ahmad Zaidi. Foto Bernama
A
A
A
Ketua Pasukan skuad penyu Muhammad Danial Mohd Nor membuka tirai jaringan pada minit ke-20 namun ia tidak kekal lama apabila penyerang utama skuad gergasi merah kuning Abdul Rahmad Daud menyamakan kedudukan empat minit kemudian.
Bermula babak kedua, Terengganu yang dibimbing Subri Sulong memperkemas permainan dan berjaya menggandakan jaringan menerusi pemain pertahanan Muhammad Hazim Mohammad Padzli pada minit ke-58 sementara penyerang Shahmeer Rusli menambah derita Selangor apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-63.
Sementara itu, Kelantan mengiringi jirannya Terengganu mara ke saingan separuh akhir setelah menewaskan Johor 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Mukah.
Walaupun Johor diperkuat dengan beberapa pemain Johor Darul Ta’zim II dan III, ia tidak cukup untuk menyaingi Kelantan yang dibimbing Ariff Hashim yang mempamerkan aksi lebih tersusun dalam mengawal perlawanan.
Gol pertama Kelantan hadir menerusi kesilapan penjaga gawang Johor Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa yang menjaringkan gol sendiri seawal minit keenam perlawanan sebelum Muhammad Naim Zainudin menyamakan kedudukan pada minit ke-16.
Penyerang Muhammad Shahril Sobri menjadi wira buat skuad Sang Kijang apabila menyumbat dua gol pada minit ke-26 dan 60 untuk membawa Kelantan ke pentas separuh akhir Sukma 2024.
Esok akan berlangsung dua lagi perlawanan suku akhir melibatkan Pulau Pinang menentang Wilayah Persekutuan dan Perak bertemu Melaka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!