Keluarga Nuraina Humaira masih terkejut, trauma

Rosli akui mereka sekeluarga dalam tempoh menenangkan diri dan cuba menerima kenyataan sebenar kehilangan Nuraina Humaira.
Rosli akui mereka sekeluarga dalam tempoh menenangkan diri dan cuba menerima kenyataan sebenar kehilangan Nuraina Humaira.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - "Kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini," kata Rosli Mahadi, 48, bapa kanak-kanak perempuan yang ditemui mati di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini, Sabtu lalu.

Rosli menyifatkan pemergian anaknya, Nuraina Humaira, 10, yang disyaki dirogol sebelum dibunuh itu sesuatu yang tidak boleh diterima.

Menurutnya, kejadian itu memberi kesan trauma, lebih-lebih lagi isterinya, Khatijah Angah, 31, yang masih diselubungi kesedihan.

"Kami sekarang dalam tempoh menenangkan diri dan cuba menerima kenyataan sebenar bahawa anak kami sudah tiada.

"Isteri saya sedaya upaya cuba kawal perasaannya, anak bongsu pula tidaklah menangis, cuma mencari-cari kelibat kakaknya yang tiada di rumah," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini pada Isnin.

Rosli ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini pada Isnin.
Rosli ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini pada Isnin.

Beliau ditemui sempena penyampaian sumbangan bakul makanan dan wang tunai daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) disampaikan Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Kuala Kangsar, Muhamad Hazwan Sabri.

Rosli bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Saya diberitahu ada suspek ditangkap, eloklah, tetapi saya tak nak tahu dan tidak mahu tengok muka dia.

"Biarlah polis yang selesaikan apa juga siasatan," katanya.

Menurut Rosli, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Bersah pada jam 3 pagi pada Isnin dengan bantuan penduduk kampung dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Katanya, proses mandi, kafan dan solat jenazah dilakukan di Unit Forensik Hospital Sungai Siput dan selesai pada jam 12 malam sebelum jenazah dibawa menaiki van.

"Perjalanan untuk sampai ke kampung mengambil masa hampir dua jam, alhamdulillah kami bersyukur semua urusan pengebumian dipermudahkan," katanya.

Muhamad Hazwan (tengah) menyampaikan sumbangan Jakoa kepada Rosli.
Muhamad Hazwan (tengah) menyampaikan sumbangan Jakoa kepada Rosli.

Dalam kejadian itu, mayat murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di kampung berkenaan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.

Siasatan polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak berkenaan dirogol sebelum dibunuh berdasarkan laporan bedah siasat yang menemui kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher mangsa.

Susulan kes itu, polis menahan reman seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga saudara terdekat mangsa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!