Kuasa Persekutuan boleh tangani isu tanah Orang Asli

Kuasa Persekutuan mencukupi untuk menyelesaikan isu berkaitan tanah Orang Asli tanpa cadangan memasukkan perkara berkaitan dengan masyarakat itu ke dalam Senarai Bersama.
Kuasa Persekutuan mencukupi untuk menyelesaikan isu berkaitan tanah Orang Asli tanpa cadangan memasukkan perkara berkaitan dengan masyarakat itu ke dalam Senarai Bersama.
A
A
A

SHAH ALAM - Kuasa Persekutuan mencukupi untuk menyelesaikan isu berkaitan tanah Orang Asli tanpa cadangan memasukkan perkara berkaitan dengan masyarakat itu ke dalam Senarai Bersama.

Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia (BPM), Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, tindakan berkenaan sama sekali tidak akan menambah nilai kepada undang-undang kerana setiap negeri masih boleh bertindak sendiri berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, BPM juga berpendirian pengaturan perlembagaan negeri dan Persekutuan tidak seharusnya menyebabkan kebuntuan undang-undang untuk melindungi dan mengiktiraf tanah dan sumber Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

“Berkenaan dengan hal tanah, di bawah Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk mengambil tanah daripada negeri bagi maksud Persekutuan yang jelas merangkumi hal-hal Orang Asli.

“Di samping itu, di bawah Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa perlembagaan untuk meluluskan dasar tanah di seluruh Semenanjung Malaysia melalui sepersetujuan dengan kerajaan negeri di Majlis Tanah Negara,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Md Nor memaklumkan, beliau akan membawa usul pindaan kebajikan Orang Asli ke dalam Senarai Bersama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan pengurusan tanah serta hal ehwal ekonomi masyarakat itu.

Ramli yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat berkata, sokongan kukuh kepada Kerajaan Perpaduan ketika ini membolehkan draf rang undang-undang untuk Senarai Bersama itu diluluskan sebelum penggal berakhir.

Mengulas lanjut, Mohamad Ezri memaklumkan, dengan adanya perkara-perkara berkaitan dengan Orang Asli dalam Senarai Bersama ia boleh menyebabkan kekeliruan, pertikaian dan kelewatan dalam pentadbiran perkara-perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Pun begitu, kami memuji Datuk Ramli atas inisiatif beliau untuk berunding dan melibatkan semua pihak yang berkenaan, khususnya Orang Asli sendiri.

“Kami juga telah memohon untuk mengadakan mesyuarat dengan beliau melalui surat bertarikh 29 Julai 2024 bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” ujarnya.

Mohamad Ezri turut menyentuh mengenai penggunaan tersendiri istilah ‘Orang Asli’ dan ‘Orang Asal, katanya, versi Bahasa Malaysia Perlembagaan Persekutuan menggunakan istilah Orang Asli untuk merujuk orang asli di Semenanjung dan ‘anak negeri’ untuk menggambarkan anak negeri di Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, BPM turut mengulangi gesaan kepada kerajaan untuk memenuhi kewajibannya di bawah Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal 2007 (UNDRIP).

“Selaras dengan Perkara 19 UNDRIP, kerajaan mempunyai kewajiban untuk berunding dan bekerjasama dengan jujur dengan Orang Asli dan mendapatkan persetujuan bebas, awal dan termaklum dalam perkara yang melibatkan mereka,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!