Lelaki disamun tujuh penjenayah berparang di stesen minyak
PETALING JAYA - Seorang lelaki cedera apabila disamun tujuh penjenayah bersenjatakan parang dan kayu berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, dalam kejadian pada jam 4.30 pagi, suspek telah memukul mangsa berusia 41 tahun dan mengambil wang serta rantai lehernya.
"Ketika kejadian mangsa berhenti rehat berhampiran stesen minyak itu, lelaki itu cedera di kepala dan tangan akibat dipukul penjenayah, nilai kerugian dianggarkan RM15,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Shahrulnizam berkata, pihak polis sedang mengesan tujuh suspek dan menyiasat kenderaan yang dinaiki kumpulan penjenayah itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!