Ambulans bawa wanita mahu bersalin berlanggar dengan MPV polis

Kenderaan MPV terbabas ke kanan jalan kerana hilang kawalan selepas berlanggar dengan ambulans di Kilometer 13 Jalan Tenom-Keningau.
Kenderaan MPV terbabas ke kanan jalan kerana hilang kawalan selepas berlanggar dengan ambulans di Kilometer 13 Jalan Tenom-Keningau.
A
A
A

TENOM - Seorang wanita bukan saja terpaksa menahan kesakitan mahu bersalin tetapi turut berdepan detik cemas apabila ambulans yang membawanya ke hospital berlanggar dengan kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis di Kilometer 13 Jalan Tenom-Keningau, pada awal pagi Ahad.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, wanita tersebut sempat dipindahkan ke ambulans lain untuk dihantar ke Hospital Keningau.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintenden Ediansha Endal berkata, siasatan awal mendapati ambulans yang dipandu lelaki berusia 41 tahun itu dalam perjalanan dari Hospital Tenom ke Hospital Keningau untuk menghantar pesakit yang mahu bersalin.

"Ketika tiba di lokasi, sebuah kenderaan MPV milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipandu lelaki berusia 37 tahun telah membelok ke kanan dan pada masa sama pemandu ambulans tidak sempat membrek disebabkan jarak yang terlalu dekat lalu mengelak ke kanan jalan.

"Bagaimanapun, ambulans tersebut telah terlanggar bahagian tepi kenderaan MPV berkenaan dan menyebabkan kedua-duanya hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Kenderaan MPV terbabas ke kanan jalan kerana hilang kawalan selepas berlanggar dengan ambulans di Kilometer 13 Jalan Tenom-Keningau.
Kenderaan MPV terbabas ke kanan jalan kerana hilang kawalan selepas berlanggar dengan ambulans di Kilometer 13 Jalan Tenom-Keningau.

Katanya lagi, akibat kejadian itu penumpang lelaki di dalam kenderaan MPV mengalami kecederaan ringan.

"Pemandu kenderaan MPV dan pemandu ambulans bersama penumpangnya iaitu pegawai perubatan, dua jururawat dan seorang pesakit yang mahu bersalin selamat dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua penumpang ambulans selamat dipindahkan ke van ambulans lain dan meneruskan perjalanan ke Hospital Keningau," katanya.

Ediansha berkata, kedua-dua kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk tindakan lanjut.

"Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!