Tapak sampah haram di Sungai Tekali diserbu

Longgokan sampah di tapak pelupusan sampah haram.
Longgokan sampah di tapak pelupusan sampah haram.
A
A
A

HULU LANGAT - Pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan operasi tindakan penguatkuasaan dan menutup tapak sampah haram beroperasi di Sungai Tekali di Hulu Langat di sini pada Isnin.

Perkara itu dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz dalam satu hantaran di laman Facebooknya selepas operasi berkenaan berakhir hari ini.

"Operasi melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga pihak polis.

"Terima kasih diucapkan kepada Dato Mohd Jusni Hashim selaku Pegawai Daerah, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat yang telah menyelaras operasi pada pagi ini," menurut Johan menerusi hantaran di laman media sosialnya itu.

Terdahulu, pejabat ADUN Dusun Tua menerima aduan daripada penduduk di Kampung Sungai Tekali berkenaan tapak pelupusan sampah berkenaan yang dikhuatiri menjadi punca pencemaran terhadap alam sekitar dan berada berhampiran empangan Semenyih.

Johan mengulas lanjut berkata, beliau juga telah mengutarakan perkembangan negatif itu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini agar pihak terbabit segera mengambil tindakan.

"Di dalam Sidang DUN yang lepas, saya telah beberapa kali membangkitkan isu tapak pelupusan sampah yang beroperasi tanpa kebenaran dan pemantauan dari pihak berkuasa kerajaan negeri mahupun Persekutuan bagi menjaga persekitaran khususnya di dalam Dusun Tua ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!