Program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah diteruskan

Suzila (tengah) bersama Azahar (lima kiri) dan Nurhayati (dua kanan) pada program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah di SMK Seksyen 7
Suzila (tengah) bersama Azahar (lima kiri) dan Nurhayati (dua kanan) pada program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah di SMK Seksyen 7
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) dan RasuahBusters berhasrat meneruskan inisiatif pendidikan antirasuah melalui program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah bagi jelajah siri kedua tahun depan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat KPS Berhad, Suzila Khairuddin berkata, jumlah sekolah juga akan ditambah kepada jumlah yang lebih besar berbanding lima sekolah pada tahun ini.

"Selepas ini akan ada program yang lebih besar dan di KPS Berhad kita akan melaksanakan program khidmat masyarakat (CSR) dalam tempoh jangka masa panjang iaitu sama ada dalam tempoh setahun hingga tiga tahun.

"Program kali ini diadakan bagi tahun pertama dan daripada maklum balas yang baik kita akan lanjutkannya untuk program kedua dan ketiga pada tahun hadapan dan seterusnya," katanya ketika ditemui pada program KPS ACT-I Jelajah Anti Rasuah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin dan Pengetua SMK Seksyen 7, Azahar Nor Arifin Ahmad.

SMK Seksyen 7 merupakan sekolah keempat selepas SMK Presint 9 (2), Putrajaya, SMK Seksyen 19 dan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah sebelum berakhir di SMK Taman Kosas, Ampang pada Selasa.

Pelajar SMK Seksyen 7 ketika melafazkan ikrar bebas rasuah.
Pelajar SMK Seksyen 7 ketika melafazkan ikrar bebas rasuah.

Suzila mengulas lanjut berkata, program yang bermula sejak 31 Julai hingga 20 Ogos itu diharap dapat meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan integriti dan menolak rasuah dalam kalangan guru dan pelajar.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini ia berjaya mencapai sasaran dalam jumlah penyertaan dan berdasarkan maklum balas daripada sekolah, RasuahBusters sendiri, ramai yang mengalu-alukan serta gembira dengan program ini," ujarnya.

Ujarnya lagi, inisiatif penganjuran program itu juga diharapkan dapat untuk memberi impak jangka panjang dalam pembentukan watak dan integriti individu di peringkat awal terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Sementara itu, bagi seorang pelajar, Nur Raudhatul Jannah Rashidin, 14, dia menyifatkan pembentukan watak dan budaya cegah rasuah pada usia muda adalah langkah penting dalam melahirkan generasi yang berani menolak rasuah.

"Menerusi program ini juga kami (pelajar sekolah) dapat tahu tentang (pelbagai elemen) rasuah dan bagaimana ia dapat merosakkan masa depan dan kami gembira kerana dapat sertai program seperti ini," ujarnya.

Rakannya, Nur Alisha Afiqah Muhamad Nor Taufik, 14, pula berkata, program ini dapat memberi pengajaran kepada pelajar tentang keburukan akibat mengambil rasuah dan cara mengatasinya.

"Seronok kerana dapat ilmu yang baharu," katanya.

Sementara itu, Nurliyana Damia Binti Hezri,14, berkata, program seperti ini dapat mendedahkan golongan pelajar mengenai bahaya rasuah kerana rasuah bukan hanya melalui pemberian wang sahaja.

"Saya dan rakan rakan lain gembira kerana boleh menambah ilmu dari program ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!