Piala FA: Johor umum 25 Ogos sebagai cuti peristiwa

Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengumumkan Ahad ini (25 Ogos) sebagai hari cuti peristiwa sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat dan penyokong yang merupakan "pemain ke -12" pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Piala FA 2024.

Berita gembira itu dikongsikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di laman Facebooknya, selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab JDT.

Onn Hafiz seterusnya berharap penyokong JDT akan turut bersama-sama memberikan sokongan terhadap Harimau Selatan pada aksi Final Piala FA antara penyandang juara, JDT menentang Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

"Kerajaan negeri memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad (25 Ogos) sebagai hari cuti peristiwa bagi seluruh rakyat Johor sebagai tanda penghargaan buat ‘Pemain ke-12’ pasukan JDT dalam Piala FA 2024.

"Marilah kita ramai-ramai turun bersama membanjiri stadium Bukit Jalil hari Sabtu ini dan memberikan sokongan padu kepada pasukan JDT yang kita sayangi dalam mempertahankan kemenangan Piala FA 2024 ini. Sama-samalah kita doakan," katanya.

Menurut Onn Hafiz, JDT telah memenangi Piala FA sebanyak tiga kali iaitu pada 2016 dan dua kali berturut-turut pada tahun 2022 dan 2023.

"Insya-ALLAH Bangsa Johor, ayuh kita pastikan tahun ini JDT mempertahankan kejuaraan untuk mencipta rekod hatrik kemenangan Piala FA," katanya.

JDT mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Kedah Darulaman FC (KDA FC) pada aksi separuh akhir manakala Selangor FC singkirkan Terengganu FC (TFC).

Artikel Berkaitan:

Mengikut tradisi sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan hari cuti peristiwa sekiranya pasukan JDT berjaya kejuaraan Piala FA dan Piala Malaysia yang dimenangi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!