Akta Pendanaan Politik mampu banteras rasuah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Aidi Amin
Gambar hiasan. Gambar kecil: Aidi Amin
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan usaha menghapuskan rasuah hingga ke peringkat akar umbi.

Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani, Aidi Amin Yazid berkata, pelaksanaan akta tersebut dapat mengenal pasti para penderma yang memberi sumbangan kepada sesebuah parti politik.

Menurutnya, disebabkan tiada Akta Pendanaan Politik, ada pemimpin parti politik mendapatkan dana daripada syarikat atau pihak tertentu yang terlibat dengan jenayah dan sebagainya untuk kegunaan organisasi politik masing-masing.

"Jika ada akta berkenaan, kita dapat mengetahui dana parti politik itu datang dari mana selain menerima sumber kewangan yang bersih untuk melaksanakan perbelanjaan terutama ketika pilihan raya kecil (PRK) ketika ini.

"Perlu disegerakan pelaksanaan ke arah usaha mewujudkan Akta Pendanaan Politik bagi menjamin perjalanan setiap parti politik memperolehi dana dari sumber yang tidak menyalahi undang-undang," katanya kepada Sinar Harian.

Pada Mac lepas, Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-Integriti, Governans Dan Anti-Rasuah (IGAR), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perkara itu juga ada dibincangkan di peringkat kumpulan rentas parti dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat.

Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, bukan setakat ahli parlimen pembangkang ahli Parlimen kerajaan diharap turut terlibat sama memberikan pandangan dan memastikan akta itu berjalan dengan betul dan tepat.

Mengulas lanjut, Aidi Amin berkata, pelaksanaan akta tersebut membolehkan pemantauan dilakukan dan mengetahui sumber kewangan diperoleh sesebuah parti politik.

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi memastikan setiap derma diterima daripada mana-mana parti itu lebih telus selain daripada sumber yang sah dan bukannya secara haram," ujarnya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!