Muhyiddin perlu mohon maaf - Chin Chen

Lee Chin Chen
Lee Chin Chen
A
A
A

KUANTAN - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didesak agar memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan institusi diraja atas keterlanjuran beliau berhubung ucapan yang menyentuh isu kaum, agama, raja (3R) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Lee Chin Chen berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu juga perlu menarik balik kenyataan.

Menurutnya, sebagai pemimpin, Muhyiddin harus lebih bijak dalam berkata-kata dan bukannya melibatkan diri dalam politik fitnah serta penghinaan terhadap institusi-institusi utama negara.

"Kita tidak boleh membiarkan kepentingan politik sempit merosakkan keharmonian dan kestabilan negara yang telah lama kita nikmati.

"Sebagai seorang ahli politik, Muhyiddin (seharusnya) bercakap berdasarkan fakta dan bukan sekadar membuat tuduhan melulu terhadap institusi diraja," katanya pada Isnin.

Chin Chen yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, menyatakan secara tegas bahawa kenyataan Muhyiddin yang mempertikaikan peranan dan keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam melantik Perdana Menteri ke-10 adalah tidak bertanggungjawab dan berbahaya.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kuasa kepada YDPA untuk membuat keputusan ini berdasarkan Perkara 40(2) dan 43(2).

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kenyataan Muhyiddin jelas satu penghinaan terhadap institusi diraja yang telah diamanahkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menjaga kestabilan dan kedaulatan negara.

Chin Chen turut memaklumkan Perkara 40(2) dan 43(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa yang jelas kepada YDPA untuk melantik seorang Perdana Menteri yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

"Sekiranya Muhyiddin merasa tidak puas hati, beliau boleh membawa usul undi tidak percaya di Parlimen, bukannya menyerang institusi raja secara terbuka.

"Ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik negara tetapi juga merendahkan maruah institusi diraja," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Chin Chen berkata, Istana Pahang telah mengeluarkan kenyataan menegaskan kemurkaan, namun Muhyiddin masih enggan memohon maaf atau mengakui kesilapannya.

Katanya, sikap ini menunjukkan ketidakmatangan dan kegagalan untuk menghormati proses perlembagaan serta institusi diraja yang berperanan penting dalam memastikan kestabilan negara.

"Muhyiddin seharusnya memahami bahawa menghormati Perlembagaan adalah tanggungjawab setiap warganegara, lebih-lebih lagi bagi seorang pemimpin politik yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam negara.

"Beliau perlu menerima hakikat, gagal mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri, dan itu adalah akibat daripada tindakan beliau yang mengkhianati Pakatan Harapan pada tahun 2022," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!