Barangan kemas 3 pelanggan bernilai RM22,000 lesap disamun empat lelaki

Tangkap layar satu video tular memaparkan empat lelaki bertopi keledar bertindak menyamun semua kedai barang perkahwinan dan menjahit di Shah Alam, Selangor pada Ahad.
Tangkap layar satu video tular memaparkan empat lelaki bertopi keledar bertindak menyamun semua kedai barang perkahwinan dan menjahit di Shah Alam, Selangor pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga pelanggan kedai barang perkahwinan dan menjahit berputih mata apabila barang kemas milik mereka bernilai RM22,000 disamun dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian jam 12.25 tengah hari itu, terdapat tiga orang pekerja kedai dan empat wanita dalam kedai terbabit.

Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit terdiri daripada empat lelaki memakai topi keledar dan menutup mulut manakala dua daripadanya bersenjatakan sebilah parang serta sebilah pisau.

"Pihak polis menerima maklumat pertama melalui panggilan telefon daripada salah seorang pelanggan di tempat kejadian pada jam 12.40 tengah hari.

"Suspek mengambil masa lebih kurang tujuh minit untuk melakukan samun tersebut. Pemilik kedai terbabit mengalami kerugian RM1,000 manakala tiga pelanggan kerugian RM22,000 apabila barangan kemas mereka disamun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun Mohd Iqbal berkata, tiada sebarang kecederaan dialami kesemua mangsa dalam kejadian terbabit dan pihak polis giat mengesan suspek.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit dengan kesalahan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Nor Idayu Abdul Aziz di talian 019-9459062," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!