Israel tangguh langkah rampas Tebing Barat
TEL AVIV - Israel semalam menangguhkan langkah mahu merampas sebahagian besar Tebing Barat sehari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikrar untuk bertindak segera terhadap perjanjian damai kontroversi yang diumumkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump walaupun berdepan bantahan keras Palestin.
Netanyahu dengan angkuh menyatakan Kabinet akan mengundi pada Ahad ini untuk memperluaskan kedaulatan Israel terhadap puluhan penempatan haram Israel dan Lembah Jordan, satu langkah yang dikhuatiri akan mencetuskan konflik baharu di Asia Barat.
Tetapi, langkah itu ditangguhkan atas alasan kononnya mahu menilai kesan undang-undang dan membuat penyelarasan tentang perkara tersebut dengan sekutu kuatnya, AS.
Menteri Pelancongan, Yariv Levin memberitahu proses undian berhubung langkah rampasan itu tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang kerana hal tersebut perlu dibincangkan dengan Peguam Negara Israel terlebih dahulu.
Israel berdepan isu tersebut berikutan ia kini tidak mempunyai kerajaan tetap susulan kegagalan membentuk gabungan menerusi dua pilihan raya yang diadakan dalam tempoh setahun pada tahun lalu.
Sementara itu, Duta AS ke Israel, David Friedman berkata, sebuah jawatankuasa bersama AS-Israel perlu memastikan langkah memperluaskan kedaulatan Israel itu sepadan dengan peta berat sebelah yang dikeluarkan pentadbiran Trump berhubung sempadan masa depan Palestin.
Sebagai respons terhadap perjanjian digelar sebagai Deal of the Century itu, Ketua Perunding Palestin, Saeb Erekat mendakwa pentadbiran Trump hanya copy paste janji kempen pilihan raya Netanyahu.“Ia adalah tentang pendudukan, ia adalah dasar aparteid,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dijangka mengemukakan bantahan beliau terhadap pelan damai baharu tersebut pada Majlis Keselamatan PBB pada bulan depan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!