Kerajaan peralihan Bangladesh komited sokong pelarian Rohingya
Agensi Anadolu melaporkan Yunus dalam satu ucapan baru-baru ini, menekankan keperluan sokongan antarabangsa untuk mengekalkan usaha kemanusiaan dan memudahkan penghantaran pulang Rohingya secara bermaruah ke Myanmar.
Pelarian Rohingya telah berada di Bangladesh sejak Ogos 2017, melarikan diri daripada tindakan kejam ketenteraan di Negeri Rakhine, Myanmar. Kebanyakan mereka tinggal di kem-kem yang sesak di Cox's Bazar, manakala kira-kira 35,000 telah dipindahkan ke Pulau Bhasan Char sejak akhir 2020.
"Kerajaan kami akan terus menyokong orang Rohingya,” kata Yunus semasa taklimat bersama diplomat asing di Dhaka.
Kami memerlukan bantuan antarabangsa yang berterusan untuk operasi kemanusiaan dan memastikan mereka kembali ke Myanmar dengan selamat dan bermaruah,” katanya.
Yunus, yang memegang jawatan pada 8 Ogos sebagai ketua pentadbiran peralihan yang terdiri daripada 17 ahli, menekankan bahawa memulihkan undang-undang dan ketenteraman awam tetap menjadi keutamaan.
Beliau berharap masyarakat antarabangsa akan menyokong Bangladesh dalam peralihan ke arah masa depan demokrasi yang baharu, menurut laporan itu.
Kerajaan peralihan berkuasa selepas tempoh pergolakan awam yang sengit dan protes antikerajaan, menyebabkan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina melarikan diri ke India dan mengakibatkan kematian yang ketara, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!