Restoran nasi kandar setuju bayar lebih RM200,000 siar kandungan Astro secara haram
Dalam penyelesaian yang dibuat menerusi penghakiman persetujuan, Thaqwa (Malaysia) Sdn Bhd bersetuju untuk membayar jumlah berkenaan kerana melanggar syarat langganan dengan menyiarkan siaran Astro secara tidak sah di beberapa cawangan restoran milik syarikat terbabit.
Ketua Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata, restoran itu hanya mempunyai langganan sah untuk dua premis sahaja, namun ia telah menyiarkan siaran Astro di lapan lagi restoran tanpa kebenaran dengan menggunakan peranti seperti kad pintar dan dekoder Astro.
"Selain daripada pembayaran pampasan, Thaqwa turut bersetuju untuk memastikan langganan Astro miliknya hanya digunakan di lokasi yang dibenarkan bagi menghormati hak cipta dan harta intelek Astro,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Astro hari ini.
Beliau berkata, Astro komited memerangi cetak rompak digital kerana pihaknya menyedari kesan besar tindakan itu kepada industri media dan kreatif.
"Dengan mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan melindungi hak harta intelek, Astro membantu memastikan para pencipta dan artis mendapat ganjaran yang adil. Usaha ini penting untuk memastikan industri ini terus hidup dan berkembang, membuka ruang untuk idea dan pengisian baharu,” katanya.
Tai berkata di Malaysia, menjadi satu kesalahan kepada mana-mana premis komersial untuk menayangkan penyiaran kepada orang awam jika pengisian tersebut diambil secara tidak sah, termasuk penyiaran rancangan Astro tanpa lesen komersial yang sahih.
Beliau berkata kes itu adalah antara kebanyakan kes yang sedang dikendalikan Astro bagi melindungi hak harta intelek miliknya.
Pada Februari lepas, seorang individu berusia 22 tahun didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menjual kotak Android yang telah dimuatkan dengan pengisian Astro secara haram dan peranti itu ditemui dalam satu serbuan pada Oktober 2023.
"Pada Julai tahun yang sama (2023), dua individu di Seremban turut berdepan tuduhan yang serupa. Seorang daripadanya ditahan kerana menjual kotak TV haram di sebuah kedai.
"Suspek mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM7,000 sementara menunggu perbicaraan pada bulan September akan datang, manakala individu yang kedua mengaku bersalah dan dikenakan denda RM10,000, dengan bayaran serta-merta,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!